Nahas 14 kenderaan: APAD gantung lesen syarikat pengendali treler

Laporan Sinar Harian pada 20 September lalu.
Laporan Sinar Harian pada 20 September lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertindak menggantung lesen syarikat pengendali treler yang terlibat dalam kemalangan maut 20 September lalu di Putrajaya kerana tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang telah ditetapkan.

APAD dalam satu kenyataan berkata tragedi yang mengorbankan dua nyawa serta menyebabkan 14 kenderaan lain berlanggar di kilometer 5.7 Persiaran Utara adalah kesalahan yang amat serius.

Justeru, APAD melalui Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) telah memutuskan untuk menggantung Lesen Pengendali Syarikat C&L Minerals Sdn. Bhd selama 28 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dan pemanduan secara berbahaya.

“Semakan juga mendapati syarikat itu mempunyai jumlah saman kelajuan yang tinggi,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Jelasnya, tindakan penggantungan lesen pengendali syarikat ini akan berkuat kuasa 19 November ini dan selepas tempoh penggantungan tersebut, sebarang transaksi berhubung dengan Lesen Pengendali bagi syarikat berkenaan tidak akan dibenarkan.

Pada perkembangan sama, usaha memastikan aspek keselamatan pengguna sentiasa diutamakan, Kementerian Pengangkutan akan mengarahkan agensi agensi di bawahnya untuk menjalankan pemeriksaan audit pematuhan dan keselamatan ke atas pengendali yang berisiko tinggi.

“Kementerian turut mengingatkan pengusaha dan pengendali syarikat untuk memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dan hendaklah memastikan aspek kebajikan pemandu adalah terjaga pada setiap masa demi memastikan keselamatan pengguna jalan yang lain.

“Tindakan yang dikenakan ke atas syarikat pengendali ini diharap menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!