Lemparan emas Queenie gegar Kejohanan Olahraga IPT 2023

Queenie pemenang pingat emas bersama pemenang perak, Nani Sahirah dan pemenang gangsa, Nor Syazwani pada Kejohanan Olahraga IPT 2023 (Grand Final) pada Jumaat.
FOTO: Sukan IPT
Queenie pemenang pingat emas bersama pemenang perak, Nani Sahirah dan pemenang gangsa, Nor Syazwani pada Kejohanan Olahraga IPT 2023 (Grand Final) pada Jumaat. FOTO: Sukan IPT
A
A
A

ATLET lempar cakera wanita Queenie Ting Kung Ni menutup musim ini dengan catatan cemerlang apabila meraih pingat emas acara lempar cakera diamond (wanita) Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 (Grand Final) di Arena Universiti Malaya (UM) pada Jumaat.

Queenie mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara setelah melakukan lemparan terbaik sejauh 41.29 meter (m) pada percubaan kelima menewaskan tujuh atlet lain.

Atlet berusia 25 tahun yang juga pemegang rekod kebangsaan, sebelum itu melakukan lemparan sejauh 41.25m pada percubaan pertama dan 40.49m pada percubaan terakhir tanpa digugat atlet lain.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Queenie berjaya mempertahankan pingat emas acara tersebut yang dimenanginya pada edisi sebelum ini.

“Ikutkan sekarang ini saya tengah 'off season' (luar musim), jadi saya nak habiskan tanggungjawab dengan menyertai kejohanan ini dan membawa nama UPM.

“Rasa sangat gembira juga sebab dapat pertahankan emas sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Pingat perak diraih Nani Sahirah Maryata yang turut mewakili UPM dengan catatan 36.65m, sementara gangsa diraih Nor Syazwani Rosman mewakili Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan lemparan 33.84m. - Bernama

Artikel Berkaitan: