YOO8 semarakkan dunia kejuruteraan

A
A
A

SEMINGGU menjelang ke tirai 2020, dunia kejuruteraan dan seni arkitek Malaysia menempa sedikit cahaya kemajuan dengan penampilan bangunan condong YOO8. Ramai orang berpusu-pusu merakam video sebuah bangunan sedang dibina di Jalan Conlay Kuala Lumpur, yang kelihatan condong dan terpusing seperti hampir tumbang, menyebabkan kesesakan luar biasa di kawasan berkenaan.

Ramai yang gempar dan segera menasihatkan orang ramai lain agar menghindari Jalan Conlay. Namun arkitek YOO8 ialah satu reka bentuk unik yang sengaja dimiringkan sehingga kelihatan seperti hampir tumbang. Arkitek bangunan tersebut mengumumkan ia direka bentuk menggunakan teknik `3D-illusion’ supaya kelihatan seolah-olah terpusar daripada sudut pandang lain, tanpa mengabaikan ciri-ciri keselamatan.

Pembinaan YOO8 mengingatkan penulis kepada Menara Condong Teluk Intan yang dibina pada 1885 dan dikenali sebagai `The Clock Water Tower’. Namun ia sebenarnya sebuah tangki air yang mampu menyimpan bekalan air sehingga 680 kaki padu air dan tidak lagi berfungsi. Di menara itu, ada jam berkunci jenama Ludgatehill London buatan syarikat J W Benson. Menara tersebut condong ke arah barat selepas berlaku banjir besar di Teluk Intan (dahulu Telok Anson).

Menara Condong Teluk Intan dengan ketinggian hampir 90 kaki dikatakan menyerupai Menara Condong Pisa di Itali. Menara Pisa terkenal dengan jolokan nama `The Leaning Tower of Pisa’ condong 4 darjah dengan ketinggian melebihi 180 kaki dan masih berdiri kukuh walaupun sudah melebihi 800 tahun.

Selepas 6 tahun pembinaan hingga ke tingkat 2 iaitu pada 1178, menara itu mula tenggelam di bahagian sisi kanan dari arah timur disebabkan oleh cerucuk asasnya tidak stabil kerana tertanam ke dalam tanah lembut setebal 3 meter menyebabkan pembinaan terhenti hampir seabad lamanya, dan siap dibina pada tahun 1372.

Sejak itu Menara Pisa kekal dengan penambahan 5.5 darjah condong walaupun usaha telah banyak dibuat untuk memulihkannya semula ke orientasi menegak yang diketuai oleh pakar geologi Universiti Pisa, Profesor Nunziante Squeglia. Namun usaha untuk mencari jalan penyelesaian gagal. Sehingga ke hari ini mereka tidak dapat membetulkan orientasi menara yang juga pernah diuji kekuatan fizikalnya oleh Galileo Galilei.

Penulis sebenarnya bangga dengan YOO8 kerana setidak-tidaknya 2019 berlalu dengan meninggalkan kenangan dan rakaman sejarah indah kepada dunia kejuruteraan serta arkitek. Penulis percaya YOO8 sama hebat dengan kegemparan pembuatan kereta terbang yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Malaysia sudah lama mempunyai sejarah kejuruteraan dan reka bentuk arkitek yang sangat mengagumkan. Bangunan Menara Berkembar Petronas daripada dahulu sehingga kini sentiasa mengundang rasa kagum kepada pengunjung yang melihatnya. Malah, Menara Berkembar Petronas pernah diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di dunia pada satu ketika dahulu.

Artikel Berkaitan:

Pada era 80-an dan 90-an, Kuala Lumpur dikejutkan dengan beberapa pembinaan bangunan yang memerlukan kemahiran kejuruteraan dan arkitek seperti Menara Tabung Haji, Menara Dayabumi, litar Formula Satu (F1) di Sepang dan kejayaan pusat pentadbiran baharu Putrajaya. Semua pembinaan ini memerlukan daya kemahiran yang sangat tinggi dan daya kreatif bertaraf dunia.

Kegemparan YOO8 telahpun ALLAH nyatakan dalam Surah Al-An'aam [06:73] bermaksud, “Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataan-Nya di waktu Dia mengatakan: "Jadilah, lalu terjadilah", dan di tangan-Nyalah segala kekuasaan di waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang gaib dan yang nampak. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.”

ALLAH juga menasihatkan para jurutera supaya mempelajari setiap sesuatu yang berlaku sebagaimana dinyatakan dalam Surah Ali-'Imran [03:190-191] yang maksudnya, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal; (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.”

Justeru, penulis merasakan masih ada sinar kecemerlangan dengan pembinaan Menara YOO8 ciptaan arkitek dan binaannya disempurnakan oleh jurutera tempatan. Ini membuktikan Malaysia masih mempunyai barisan jurutera dan arkitek yang bertaraf dunia. Penulis perlu mengakui bahawa penampilan Menara YOO8 kini kembali meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama di kalangan jurutera dan arkitek muda yang mahu belajar sesuatu daripada pembinaan unik. Penulis sendiri pernah berbelanja besar terbang ke serata dunia semata-mata untuk melihat dengan mata sendiri pembinaan beberapa bangunan terkemuka dunia agar ilmu di dada dapat disuburkan dengan nada kecemerlangan.

*Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)