Mahkamah tukar hukuman 11 banduan lagi

Mahkamah Persekutuan pada Khamis meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat dan hukuman mati kepada pemenjaraan antara 30 hingga 36 tahun melibatkan 11 banduan lain. Gambar kecil: Tengku Maimun
Mahkamah Persekutuan pada Khamis meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat dan hukuman mati kepada pemenjaraan antara 30 hingga 36 tahun melibatkan 11 banduan lain. Gambar kecil: Tengku Maimun
A
A
A

PUTRAJAYA - Selain meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada penjara selama 33 tahun ke atas bekas anggota polis yang bersalah membunuh Along Spoon, Mahkamah Persekutuan pada Khamis turut meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat dan hukuman mati kepada pemenjaraan antara 30 hingga 36 tahun melibatkan 11 banduan lain.

Bekas pengutip hutang, G. Krishna Rao, 47, dan abang iparnya, M. Rajendran, 56, mendapat pindaan hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada hukuman pemenjaraan sehingga 36 tahun. Mereka diperintahkan menjalani hukuman mereka mulai 13 Mac 1998.

Kedua-dua lelaki itu disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh empat orang termasuk seorang remaja berusia 15 tahun di sebuah rumah di Taman Seri Dermawan, Bercham, Ipoh, Perak antara 6.30 petang pada 12 Mac 1998 dan 11.45 malam pada 13 Mac 1998.

Hukuman mati mereka ditukar kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan menerima rayuan mereka.

Seorang lagi banduan, Mohd Masri Radhuan, 44, yang juga disabitkan atas kesalahan membunuh, dijatuhi hukuman penjara 33 tahun.

Sementara itu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut meminda hukuman mati lapan lagi banduan termasuk dua warga India yang disabitkan kesalahan mengedar dadah kepada pemenjaraan sehingga 30 tahun.

Mereka ialah Lim Hock Boon, Cik Nazeri Mat, Law Yew Kwan@Low Yew Kwan, T. Sivakumar, Razali Ahmad, M. Saravanan Muthu dan dua warga India, Sarumati Rengasamy (wanita) dan Malti. Cik Nazeri, Sivakumar, Saravanan dan Razali masing-masing diperintah dikenakan 12 sebatan.

Kesemua banduan yang berusia 45 hingga 79 tahun itu, masing-masing diarah oleh mahkamah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Artikel Berkaitan:

Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) yang berkuat kuasa 12 September lepas, memberikan Mahkamah Persekutuan kuasa budi bicara untuk menyemak semula kes membabitkan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat.

Ini susulan penguatkuasaan undang-undang baharu iaitu Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lepas.

Di bawah undang-undang itu, hukuman mati mandatori bagi kesalahan seperti mengedar dadah dan membunuh telah dihapuskan.

Undang-Undang itu memberi pilihan kepada hakim sama ada mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, pesalah boleh juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berusia di bawah 50 tahun.