KDN kaji pinda Akta Kawasan Larangan, Tempat Larangan

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji pindaan terhadap Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) dan beberapa tindakan utama lain dalam usaha memastikan aspek keselamatan negara terus dipertingkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan pindaan itu berikutan Akta 298 belum pernah dipinda sejak diwujudkan pada 1959 dan dianggap sudah tidak relevan dengan keadaan semasa.

"Akta ini tidak pernah ditambah baik dan melangkah ke hadapan kita fokuskan dalam beberapa perkara seperti aspek nilai punitif dan peluasan kuasa membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa. Tidak boleh lagi hanya satu agensi sahaja diberikan kuasa, kena ada pelbagai agensi untuk menguatkuasakannya.

"Tumpuan dalam aspek hukuman, memandangkan kadar hukuman (bagi Akta 298) sudah tidak relevan. Kita juga akan memasukkan sasaran penting dalam akta ini. Semua masih dalam peringkat perbincangan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting Tahun 2023 di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali.

Saifuddin Nasution berkata, kajian mengenai pindaan itu sudah dijalankan sejak tahun lepas dan bengkel bagi memperkasa akta tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau berkata KDN turut mengusahakan rang undang-undang baharu berkaitan keselamatan siber dan agensi tunggal keselamatan membabitkan penguat kuasa pelbagai agensi yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun hadapan.

Berhubung majlis hari ini, Saifuddin Nasution berkata sebanyak 28 agensi kerajaan dan syarikat yang digazetkan sebagai sasaran penting dinilai tahap pematuhan terhadap aspek tadbir urus, keselamatan fizikal, keselamatan dokumen, keselamatan peribadi dan keselamatan teknologi maklumat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sasaran penting negara membabitkan 13 sektor seperti kesihatan, pertahanan, keselamatan dan pengangkutan, dan majlis anugerah itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada tadbir urus sasaran penting terbaik. - Bernama