'Fokus lima perkara, kembali kukuhkan Bersatu'

Bersatu perlu fokus memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi untuk kelangsungan parti itu. Gambar kecil: Mohamad Shafiq
Bersatu perlu fokus memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi untuk kelangsungan parti itu. Gambar kecil: Mohamad Shafiq
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu fokus memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi untuk kelangsungan parti itu.

Pegawai penyelidik dan penganalisis politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, parti berkenaan juga harus lebih fokus kepada pembangunan kepimpinan dan doktrin ideologi berbanding meluahkan perasaan kecewa melalui pelbagai tindakan.

Menurut ahli Bersatu Kedah itu, Bersatu juga seharusnya lebih mendengar suara akar umbi selain perlu memperjelaskan hala tuju parti agar lebih diyakini.

“Hakikat yang perlu kita terima, pemimpin datang dan pergi tetapi parti kekal selamanya. Fokus kepada lima aspek itu, kembali kukuhkan parti.

“Sebab itu, tunjang parti hendaklah kukuh. Namun antara perkara yang sering diabaikan atau mungkin tidak dibincangkan oleh ahli Bersatu ialah masa depan parti, ke mana arah tuju parti dan apa Bersatu inginkan untuk mencorak masa depan negara dan bangsa,” katanya di sini pada Khamis.

Mohamad Shafiq berkata, perbincangan seperti itu akan menyebabkan lebih ramai tertarik untuk bersama dalam perjuangan kerana mereka berasakan ada sesuatu untuk diperjuangkan, bukan mengharapkan sesuatu dari parti.

“Dalam usia parti yang masih muda ini pasti pelbagai perkara akan kita tempuhi, namun bukan mustahil untuk dilakukan.

“Ibarat mendulang emas, pada peringkat awal mungkin ada lumpur-lumpur dan pasir sebelum akhirnya emas itu akan kelihatan. Semua perkara akan berlaku jika ia bermula, bukan menunggu dimulakan oleh generasi yang kita tidak tahu bila,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, Bersatu boleh menjadi wadah perjuangan baharu bagi individu yang kecewa dengan parti lain khususnya yang melibatkan perjuangan orang Melayu-Bumiputera dan golongan tersisih.

“Politik adalah gerakan sukarela untuk kita menyumbang buah fikiran dan menabur bakti untuk agama, bangsa dan tanah air. Kita perlu buka ruang seluasnya untuk mana-mana pihak berjuang bersama kita, tambahan pula apabila bergelar pembangkang,” katanya.

Mohamad Shafiq turut mengingatkan agar sesetengah perkara dalaman parti tidak perlu didedahkan kerana ia boleh menyebabkan tanggapan buruk dan persepsi negatif ahli akar umbi.

“Pandangan saya tidak menggambarkan saya tahu semua perkara. Saat saya melangkah dari UMNO ke Bersatu, saya mempunyai satu niat bahawa parti ini perlu diperjuangkan untuk masa depan anak cucu, bangsa, agama dan negara.

“Dalam perjuangan, kita tidak boleh berseorangan, kita perlu bersama dan senada serta mempunyai tujuan yang sama,” jelasnya.