Bersatu mungkin gantung keahlian dua MP Kelantan

Mohd Azizi (kanan) dan Zahari. (Gambar kecil: Kamaruddin)
Mohd Azizi (kanan) dan Zahari. (Gambar kecil: Kamaruddin)
A
A
A

KOTA BHARU - Dua ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan menerima nasib sama seperti ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, parti berkenaan sedang mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Menurutnya, keputusan terhadap kedua-duanya bagaimanapun terserah kepada Lembaga Disiplin Bersatu dan beliau sendiri tidak boleh mendahuluinya.

“Dua (Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid-Kuala Kangsar dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman-Labuan) sudah dikenakan tindakan disiplin dan dua lagi (Mohd Azizi dan Zahari) dalam proses kerana lembaga disiplin perlu bermesyuarat sebelum menjatuhkan atau membuat keputusan.

“Hukuman sama ada gantung atau pecat tertakluk keputusan lembaga disiplin parti tetapi jika dilihat berdasarkan dua ahli Parlimen sebelum ini, mungkin kedua-duanya ini digantung keahlian,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri itu berkata, setakat ini, beliau belum dapat menghubungi atau berjumpa dengan Mohd Azizi serta Zahari untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkait keputusan sokongan yang bercanggah dengan pendirian parti itu.

“Ketika ini mereka ada di Kuala Lumpur kerana Parlimen masih bersidang manakala saya di Kelantan.

“Kali terakhir berjumpa Mohd Azizi ialah sebelum kenyataan yang saya keluarkan baru-baru ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mengesahkan Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor menghubunginya dan menyatakan pendirian untuk tetap bersama parti.

“Maknanya beliau tidak akan berganjak daripada sokongan dan tiada sebab untuk saya meragui kesetiaannya bersama parti.

“Berkait kenyataan Mohd Azizi tidak ada ‘broker’ politik, itu kata dia dan seperti yang saya umumkan ada orang jumpa beliau dengan pelbagai tawaran, itu pun daripada dia juga.

“Saya sendiri tak akan tahu kalau beliau tak cerita dan terpulang kepada rakyat untuk percaya yang mana-mana,” katanya.