Akta Anti Lompat Parti satu undang-undang ‘diktator’ - Afif

Afif mendakwa Akta Anti Lompat Parti dianggap sebagai satu undang-undang diktator. -FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Afif mendakwa Akta Anti Lompat Parti dianggap sebagai satu undang-undang diktator. -FOTO: SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Anti Lompat Parti dianggap sebagai satu undang-undang 'diktator' kerana memberi kuasa penuh kepada presiden parti atau sesiapa sahaja yang berkuasa untuk menentukan kedudukan kerusi seseorang.

Setiausaha Negeri Perikatan Nasional (PN), Dr Afif Bahardin berkata, pelaksanaan akta tersebut secara tidak langsung telah mencabut hak rakyat dalam menentukan individu yang patut mewakili mereka.

“Sekarang siapa yang berkuasa menentukan kerusi ini? Bukan perdana menteri, bukan ketua pembangkang atau ketua presiden tetapi Speaker yang tentukan.

“Kuasa itu diberikan kepada Speaker. Tan Sri Speaker yang tentukan sama ada kerusi ini boleh kosong atau tidak. Jadi mana kuasa rakyat dalam hal ini.

“Sebab itu Akta Anti Lompat Parti ini sebenarnya bermasalah. Masalah yang paling besar adalah asasnya kenapa kita gubal undang-undang ini?” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 420 yang bertajuk ‘Undang-undang Lompat Parti Lompong?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Pengarah Eksekutif Bersih, Ooi Kok Hin dan Timbalan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danish Hairudin.

Sementara itu, Afif mendakwa kewujudan Akta Anti Lompat Parti tidak hormat kepada mandat rakyat kerana setiap ahli Parlimen atau wakil rakyat dipilih setiap lima tahun melalui Pilihan Raya Umum (PRU).

Artikel Berkaitan:

“Maknanya dalam tempoh satu penggal itu, kalau dia berubah parti, kemudian pada pilihan raya akan datang, automatik jawatan dia akan terputus.

“Dan itu dijamin oleh perlembagaan dan dia perlu ‘recontest’ atau bahasa mudah mohon semula bekerja untuk jadi wakil rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi contoh terhadap situasi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah berpuluh tahun mewakili UMNO di Pagoh, namun tetap diangkat menjadi wakil rakyat apabila bersama Bersatu.

Pada masa sama, Afif turut mempertikai tindakan kerajaan dalam memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Perdana Menteri yang ada kini paling kuat sejak 10 tahun lalu, kenapa perlu ada ahli Parlimen daripada PN untuk buat sokongan secara terbuka baru nak bagi peruntukan.

“Apa tidak yakin dengan nombor yang ada?” soalnya.