Pemandu treler minyak rempuh treler simen

Kerosakan di bahagian kepala treler minyak petrol selepas melanggar belakang treler muatan simen lokasi kejadian. -Foto ihsan IPD Hulu Terengganu
Kerosakan di bahagian kepala treler minyak petrol selepas melanggar belakang treler muatan simen lokasi kejadian. -Foto ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang pemandu treler minyak petrol berdepan detik cemas selepas kenderaan berat yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan simen.

Kejadian berlaku di KM378.9, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), (Bukit Besi-Ajil), di sini kira-kira jam 2 petang semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua pemandu kenderaan berat tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati treler jenis Scania R420 yang membawa muatan simen dalam perjalanan dari Bukit Besi, Dungun ke Tepoh, Kuala Nerus.

"Setibanya di lokasi, kenderaan itu dirempuh dari belakang oleh treler jenis Volvo FM400 muatan minyak petrol yang datang dari Gebeng, Kuantan, Pahang menghala ke Kuala Terengganu.

"Difahamkan pemandu treler minyak petrol berusia 23 tahun dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu itu hendak memotong kenderaan lain tetapi gagal lalu melanggar bahagian belakang treler simen yang dipandu lelaki berusia 36 tahun itu.

"Akibat rempuhan kuat itu, treler minyak petrol remuk di bahagian depan manakala treler simen pula mengalami kerosakan di bahagian belakang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Artikel Berkaitan: