Johor adakan solat hajat buat rakyat Palestin pada Ahad

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan mengadakan solat hajat khas di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn pada Ahad ini bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, majlis bacaan yasin, tahlil turut adakan diadakan sebagai solidariti Bangsa Johor buat rakyat Palestin yang menderita dianiaya rejim Zionis.

"Ayuh seluruh Bangsa Johor sama-sama kita hadir di majlis bacaan yasin, tahlil dan solat hajat Bangsa Johor untuk Palestin Peringkat Negeri pada jam 4 petang Ahad ini di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn.

Datuk Onn Hafiz Ghazi
Datuk Onn Hafiz Ghazi

"Panjatkan doa dan teguhkan sokongan kepada saudara kita di Palestin.

"Sama-samalah kita berdoa supaya penderitaan dan penindasan ini digantikan dengan cahaya keamanan dan keadilan kembali menyinari bumi Palestin. Insya-ALLAH," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tentera Israel kini dilaporkan sedang menjalankan operasi terhadap Hamas di Hospital Al Shifa di Semenanjung Gaza dan menggesa anggota kumpulan pejuang di hospital itu menyerah diri.

Israel sebelum ini dilaporkan berikrar untuk memusnahkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan, nasib Al Shifa telah menjadi tumpuan penggera antarabangsa kerana keadaan semakin teruk di kemudahan itu.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan perubatan dilaporkan berkata hospital itu hampir tidak berfungsi kerana serangan Israel dan kekurangan bahan api untuk penjana kuasa.

Tentera Israel melancarkan pertempuran jalanan yang sengit terhadap pejuang Hamas sejak 10 hari lalu sebelum mara ke pusat Gaza City dan sekitar Al Shifa.

Menurut Hamas, 650 pesakit dan 5,000 hingga 7,000 orang awam lain terperangkap di dalam kawasan hospital Al Shifa, di bawah tembakan berterusan daripada penembak tepat dan dron Israel.