Ugutan Netanyahu dan wajah sebenar negara Arab

Laporan Sinar Harian berhubung konflik Palestin-Israel.
Laporan Sinar Harian berhubung konflik Palestin-Israel.
A
A
A

KEPUTUSAN di atas kertas oleh negara-negara Arab terhadap konflik berdarah Palestin-Israel mengecewakan banyak pihak khasnya masyarakat negara Islam termasuk Malaysia.

Mana tidaknya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh memberi amaran kepada negara-negara Arab supaya tidak campur tangan urusan rejim Zionis membedil Gaza.

Lebih menyakitkan hati, pemimpin Arab diberi hanya satu pilihan iaitu duduk diam-diam jika tidak mahu kerajaan mereka terkena tempias konflik, sekali gus hilang sumber kekayaan.

Tanpa rasa bersalah, Netanyahu turut mendakwa serangan askar rejimnya itu adalah mengikut lunas undang-undang antarabangsa.

Mengapa begitu sekali dia berani bertindak sedemikian? Ia berikutan dukungan kuasa besar di belakangnya yang turut memegang ekonomi dunia, sekali gus dengan mudah pemimpin negara Arab didiamkan.

Ugutan Netanyahu itu susulan keputusan Sidang Kemuncak Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh, Sabtu lalu.

Sidang kemuncak itu menuntut Israel menamatkan serta-merta serangan terhadap Gaza, menolak alasan Zionis mempertahankan diri dan desak ‘kerajaan tanpa negara’ tersebut disiasat melakukan jenayah perang serta kemanusiaan.

Sebenarnya keputusan sidang kemuncak itu tidak memuaskan hati masyarakat dunia Islam kerana tiada satu pun yang mampu menghapus kegilaan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.

Artikel Berkaitan:

Keangkuhan Israel tidak boleh dibiarkan begitu sahaja walaupun suara dunia Islam ibarat mencurah air ke daun keladi.

Tekanan menerusi solidariti dan himpunan masyarakat dunia terhadap kesengsaraan penduduk Palestin perlu terus bergema.

Mesej-mesej yang mengutuk segala tindakan dan kekejaman Israel di media sosial juga perlu diperhebatkan.

Jangan sesekali kita tamatkan perjuangan membela Palestin khasnya warga Gaza. Mereka ketika ini amat menderita dan memerlukan sokongan dari pelbagai sudut.

Sebagai negara yang menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia juga berhak mendesak dunia untuk menyekat kekejaman Zionis.

Diharapkan suara dan doa bangsa Malaysia khasnya para pemimpin mampu menggentarkan hati rejim Zionis untuk berundur dan mengembalikan bumi Gaza kepada yang berhak.