5,620 keluarga ditawar skim sewa milik PPR

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] 5,620 keluarga telah ditawarkan skim Program Perumahan Rakyat (PPR) Sewa untuk Milik (RTO) di seluruh negara sehingga 30 September lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), skim RTO merupakan satu bentuk skim pemilikan rumah melalui sewaan melibatkan pemaju dan pihak institusi kewangan bagi menyediakan perumahan kepada golongan sasar.

“Kerajaan telah menetapkan bahawa Skim RTO akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar iaitu golongan B40 dan M40 dapat memiliki rumah.

“Sehubungan itu, KPKT sedang meneliti untuk menambah baik skim RTO sedia ada dan bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak swasta dan institusi kewangan bagi memperluaskan skim ini seterusnya menepati keperluan golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tuan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tuan Rushdan meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan konsep sewa beli untuk pembeli rumah pertama, adakah ia akan dilaksanakan oleh institusi kewangan seperti bank atau akan melalui agensi kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) atau koperasi.

Dalam pada itu, ujar Akmal Nasrullah, terdapat juga cabaran yang didepani oleh pihak institusi perbankan berhubung skim PPR RTO termasuk dari segi cagaran.

“Sebagai contoh bila kita beli rumah, rumah tersebut akan dicagarkan maka itu berlakunya proses jual beli tetapi dalam skim RTO, pemaju itu masih memegang unit tersebut maka memang terdapat cabaran untuk pihak perbankan menawarkan RTO ini kerana soal perundangan cagaran yang disebutkan tadi.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya pembeli yang memasuki Skim RTO sebenarnya masih menyewa sehingga penyewa itu bersetuju membeli secara penuh maka sepanjang tempoh tersebut masih dianggap penyewa.

“Jadi, sekiranya berlaku apa-apa dalam tempoh tersebut bagaimana dari segi tanggungjawab untuk meneruskan bayaran dan sebagainya. Itu antara cabaran,” menurutnya.

Sementara itu, ulasnya, kerajaan sentiasa memberikan komitmen dalam menyediakan program perumahan mampu milik bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat selaras dengan matlamat Dasar Perumahan Negara (2018-2025).

“Untuk makluman, di bawah Kerajaan terdapat dua kategori di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Dimiliki dan PPR Disewa yang dikhaskan kepada golongan B40.

“PPR Disewa menawarkan kadar sewa terbaru iaitu RM200 sebulan bagi unit rumah bertanah dan RM250 sebulan bagi perumahan berstrata,” ujarnya.