Tiga bekas banduan dicekup tak sampai lima jam meragut

Sebahagian barang dipercayai milik mangsa yang diragut oleh suspek. Gambar kecil: Christopher
Sebahagian barang dipercayai milik mangsa yang diragut oleh suspek. Gambar kecil: Christopher
A
A
A

MELAKA - Tiga bekas banduan dicekup polis tidak sampai lima jam selepas meragut beg jinjit seorang wanita di Jalan Melaka Raya 23, di sini pada petang Isnin.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Tanjung pada jam 9.40 malam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dilakukan setelah pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh mangsa berusia 19 tahun yang diragut suspek yang menunggang motosikal ketika berjalan bersama ibunya ke kawasan parkir kereta pada jam 5 petang.

Menurutnya, walaupun berlaku pergelutan namun kesemua suspek berjaya ditangkap oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan dibantu D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Katanya, susulan penangkapan tersebut polis turut menemui beberapa barangan milik mangsa seperti komputer riba jenis Apple, iPad, gelang tangan pandora, selain motosikal yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati, mereka merupakan penjenayah tegar.

"Kesemua suspek juga baru dibebaskan dari penjara pada 30 Oktober lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Tambahnya, soal siasat yang dilakukan terhadap kesemua suspek, mereka mengaku telah membuat dua kes samun pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat," katanya lagi.