Budak maut dalam kereta, polis rakam keterangan lima individu

Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin
Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Polis telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan maut akibat tertinggal lebih tujuh jam dalam kereta di kawasan perumahan Ara Damansara di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu, sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini, kita telah merakam keterangan lima individu termasuk ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan, kita dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada DPP," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Rabu lalu, Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, laporan dibuat ibu mangsa kira-kira jam 3.49 petang mendakwa anaknya berumur dua tahun itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

Siasatan dijalankan mendapati kira-kira jam 7 pagi, wanita terbabit membawa dua anaknya bersama mangsa untuk dihantar ke sekolah berhampiran sebelum menuju ke sebuah tadika untuk menghantar mangsa.

Bagaimanapun ketika wanita terbabit tiba di tadika, dia kemudiannya berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa untuk menurunkan mangsa.

Wanita terbabit kemudiannya terus bergerak pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa berada dalam kenderaan yang dipandunya itu.

Ibu mangsa hanya menyedari mangsa berada dalam kereta kira-kira jam 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Artikel Berkaitan:

Bapa mangsa kemudian menghubungi talian kecemasan 999 serta memberikan rawatan awal terhadap mangsa sebelum petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak polis tiba di lokasi kejadian.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.