SME Corp, Funding Societies peruntuk RM6 juta buat usahawan belia bumiputera

Kien Poon (dua dari kiri), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (tengah) serta Rizal (dua dari kanan) semasa majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) di Sesi Meet & Greet Alumni TUBE di Kota Kinabalu, Sabah.
Kien Poon (dua dari kiri), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (tengah) serta Rizal (dua dari kanan) semasa majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) di Sesi Meet & Greet Alumni TUBE di Kota Kinabalu, Sabah.
A
A
A

SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Funding Societies Malaysia memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM6 juta kepada usahawan belia bumiputera di bawah program Inisiatif Pembiayaan PMKS Bumiputera (BMFI) yang dilancarkan baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di bawah Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, peruntukan khusus berkenaan mengambil kira kepentingan usahawan belia bumiputera dalam usaha merealisasikan matlamat Ekonomi Madani bagi mencapai pertumbuhan yang seimbang, terangkum dan mampan.

Menurutnya, kerjasama dengan rakan kongsi kewangan yang terlibat mampu memperluaskan penyelesaian pembiayaan digitalnya kepada usahawan belia menerusi Pembiayaan Tunas-i.

“Kami harap dapat manfaatkan kerjasama ini untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan jangka pendek yang inovatif dan pantas melalui platform digital sebagai tambahan kepada dana kerajaan sedia ada.

“Justeru, kami menjangkakan lebih ramai PMKS bumiputera akan mengambil peluang daripada inisiatif ini bagi memenuhi keperluan pembiayaan mereka, khususnya dalam modal kerja.

“Akses kepada pembiayaan kekal menjadi isu utama yang menjadi cabaran kepada pertumbuhan PMKS termasuklah usahawan bumiputera,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Rizal memaklumkan, kerajaan bagaimanapun kekal komited untuk menyokong PKMS dalam aspek tersebut, sepertimana yang dibuktikan melalui peruntukan besar di bawah Belanjawan Madani 2024.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, akses kepada pembiayaan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM32.15 bilion bersamaan 73.7 peratus daripada dana keseluruhan untuk PMKS yang berjumlah RM43.6 bilion.

Sementara itu, Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, kerjasama yang terjalin antara pihaknya dan SME Corp disifatkan berjaya melakar satu detik bersejarah bagi memupuk pertumbuhan serta daya tahan PMKS bumiputera.

Ujar beliau, perkongsian tersebut sebagai bukti kebersamaan visi kedua-dua pihak dalam melengkapkan para usahawan dinamik dengan bantuan kewangan yang diperlukan untuk berkembang maju dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Menurutnya lagi, perusahaan mikro dan usahawan belia memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi pertumbuhan yang lebih terangkum, mampan serta seimbang.

“Namun, mereka menghadapi cabaran berterusan dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan, lazimnya disebabkan oleh kekurangan atau ketiadaan cagaran dan prestasi kredit.

“Sebagai platform pembiayaan digital terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SME Corp dalam memperkasakan usahawan muda.

“Ini turut menjadi tonggak kepada perkongsian sedia ada dengan agensi kerajaan dan kami berazam untuk mempelbagaikan kerjasama pada masa hadapan demi mengukuhkan ekosistem PMKS,” jelas Kien Poon.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!