Cubaan tumbangkan kerajaan GRS titik hitam sejarah politik Sabah - Hajiji

Hajiji bertemu dengan ahli Gagasan Rakyat pada persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di SICC Kota Kinabalu.
Hajiji bertemu dengan ahli Gagasan Rakyat pada persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Cubaan rampasan kuasa yang berlaku awal tahun ini sehingga menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri hampir lumpuh diharap tidak akan berulang lagi.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan supaya ahli parti tidak leka dan mengambil mudah dengan setiap keadaan atau kejayaan yang telah dicapai.

"Ujian dan cabaran tetap berada di mana-mana. Malah masih segar dalam ingatan kita semua cubaan kudeta politik pada awal tahun ini oleh segelintir pemimpin atau kumpulan yang merupakan rakan kita sendiri.

"Akibat daripada cubaan itu, segala urusan pentadbiran negeri telah terganggu seketika. Peristiwa itu sebenarnya sukar untuk dilupakan dan antara titik hitam dalam sejarah politik Sabah yang sangat mengecewakan," katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.

Hajiji berkata, suasana ketika itu amat genting dan kerajaan negeri nyaris-nyaris lumpuh serta hilang kelayakan untuk meneruskan pentadbiran dan kuasa pemerintahan.

"Rakyat menjadi cemas. Mereka bimbang kalau-kalau akan berlaku lagi Pilihan Raya Negeri (PRN). Satu situasi yang tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh mewujudkan tanggapan ketidakstabilan politik.

"Namun, berkat sokongan daripada rakan yang asalnya parti lawan, iaitu Pakatan Harapan (PH) Sabah, kerajaan yang berpaksikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini telah dapat diselamatkan dan terus memegang tampuk kerajaan.

"Terima kasih kepada rakan-rakan daripada PH termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN/UMNO yang tetap menyokong dan mendokong kerajaan GRS, lalu menjadikan kerajaan negeri hari ini dikenali sebagai kerajaan GRS-PH Plus.

Artikel Berkaitan:

"Peristiwa itu membolehkan `kita tahu siapa kawan dan lawan' dan lebih penting kita dapat mengenali hati budi sahabat sejati.

Hajiji menegaskan bahawa tindakan mahu menumbangkan kerajaan demokratik pilihan rakyat adalah suatu tindakan terdesak yang sangat memalukan dan tidak beretika.

Sehubungan itu, Hajiji menegaskan betapa pentingnya Gagasan Rakyat diperkukuhkan dan menyifatkan parti itu sebagai 'rumah' yang perlu dijaga bersama.

"Rumah kita, kitalah tuannya. Rumah kita, kitalah penentu menu dan resipinya. Rumah kita, kitalah yang jaga," katanya.