[VIDEO] Abdul Hadi kekal Ahli Parlimen Marang

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu memutuskan Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang.

Keputusan sebulat suara itu ditetapkan panel tiga hakim, dipengerusikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim selepas menolak rayuan bekas calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman bagi Parlimen tersebut sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang menolak petisyen pilihan rayanya.

Sebelum ini, ahli politik itu mendakwa Abdul Hadi yang juga Presiden Pas menyogok pengundi di Parlimen tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Jasmira, Abdul Hadi.
Jasmira, Abdul Hadi.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Abang Iskandar berkata, Jasmira selaku perayu gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

“Justeru, rayuan ini ditolak tanpa sebarang kos,” kata Abang Iskandar yang bersidang bersama Hakim, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Jasmira menghujahkan, wujudnya elemen rasuah apabila pihak berkenaan menyampaikan bantuan, dua hari sebelum PRU15 diadakan.

Artikel Berkaitan:

Sedangkan katanya, pihak berkenaan boleh menyampaikan sumbangan selepas PRU15, antaranya 20 sehingga 24 November 2022.

“Kami tidak menyangkal sumber bantuan berkenaan, namun mempertikaikan tarikh agihan itu diberi kepada 6,286 penerima di Parlimen itu.

“Meskipun angkanya tidak mencapai nilai majoriti, namun bilangan yang mencecah hampir 7,000 ini masih boleh pengaruhi keputusan pilihan raya,” katanya yang turut memohon agar mahkamah menerima rayuan petisyen ini.

Bagaimanapun, peguam, Yusfarizal Yussoff yang mewakili Abdul Hadi selaku responden menghujahkan bahawa, tarikh agihan bantuan telah ditetapkan lebih awal, berbanding penetapan PRU15.

Menurutnya, bantuan kewangan itu diluluskan oleh Kerajaan Terengganu pada 15 November 2021 iaitu setahun sebelum pilihan raya dijalankan.

Malah beliau berkata, bantuan perlu disumbangkan antara 30 Oktober dan 30 November 2022, maka ia bukan bertujuan menyogok pengundi menjelang PRU15.

Bukan itu beliau berkata, agihan disampaikan kepada pengundi berdaftar sahaja namun pemilihan dibuat berdasarkan sistem komputer secara rawak.

“Kami akui program itu dibuat namun ia tidak membuktikan bahawa bantuan itu mendorong pengundi memberi undi kepada responden.

“Bukan itu sahaja, anak guam tidak pernah mengeluarkan kenyataan, pengundi akan menerima wang sekiranya keluar membuang undi,” katanya.

Bagaimanapun, dalam prosiding pada Rabu, Jasmira dan Abdul Hadi tidak hadir ke mahkamah, sebaliknya mewakilkan peguam masing-masing.

Petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lepas, antara lain mendakwa Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri.

Perayu mendakwa perkara itu berlaku menerusi program i-pencen, i-Belia dan i-Siswa, pada 15 hingga 17 November 2022 iaitu beberapa hari menjelang PRU15.

Pada pilihan raya tersebut, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong.

Keputusan itu menunjukkan peningkatan berbanding majoriti sebanyak 21,954 undi yang diperoleh pada PRU14.

Abdul Hadi memperoleh keseluruhan undi sebanyak 73,115 mengatasi Jasmira (31,386 undi), Azhar (4,140 undi) dan Dr Zarawi (427 undi).