Zakat RM1.36 juta bantu anak asnaf

Zakaria (dua dari kanan) membantu seorang penerima memakai pakaian sekolah sambil disaksikan Ammar (tengah) di Masjid Sultan Abdul Halim, Sungai Petani kelmarin.
Zakaria (dua dari kanan) membantu seorang penerima memakai pakaian sekolah sambil disaksikan Ammar (tengah) di Masjid Sultan Abdul Halim, Sungai Petani kelmarin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lembaga Zakat Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM1.36 juta untuk pengagihan baju dan beg sekolah kepada 20,979 anak asnaf sebagai persediaan sesi persekolahan baharu 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, pengagihan itu dibuat bermula Disember 2019 membabitkan murid dari 458 buah sekolah rendah.

Menurutnya, jumlah paling ramai ialah di daerah Kuala Muda iaitu 3,486 penerima diikuti Kota Setar (3,180 penerima), Kubang Pasu (2,552 penerima) dan Baling seramai 2,403 penerima.

"Penerima di Kulim membabitkan 1,760 orang, Pendang (1,751 orang), Yan (1,100 penerima), Sik (1,091 penerima), Pulau Langkawi (998 penerima), Padang Terap (987 penerima), Pokok Sena (854 penerima) dan Bandar Baharu seramai 817 penerima.

"Dengan adanya bantuan ini diharapkan dapat memberi semangat untuk anak asnaf meneruskan kehidupan selain tidak mengabaikan pelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis penyampaian Back To School di Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, Sungai Petani kelmarin.

Hadir sama merasmikan majlis, Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Ammar Sheikh Mahmood Naim.

Dalam pada itu, Ammar berkata, pihaknya sangat berbesar hati untuk mengagihkan bantuan seumpama itu kerana sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung keluarga kurang berkemampuan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, sumbangan Back To School Lembaga Zakat Negeri Kedah diagihkan setiap tahun melalui kerjasama pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah.