Kedah berjaya kumpul RM2.07 juta untuk Palestin

Muhammad Sanusi berucap pada Himpunan Solidariti Untukmu Palestin di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini pada malam Ahad. - Foto: Ihsan Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Muhammad Sanusi berucap pada Himpunan Solidariti Untukmu Palestin di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini pada malam Ahad. - Foto: Ihsan Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah berjaya mengumpulkan sumbangan RM2.07 juta untuk membantu rakyat Palestin yang menderita akibat kezaliman Zionis Israel.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau yakin dan percaya rakyat Kedah akan terus menyumbang hingga terbina sebuah hospital di Gaza untuk meringankan beban dan penderitaan rakyat Palestin.

Katanya, rakyat Palestin sejak sekian lama telah menanggung kesengsaraan apabila kehilangan nyawa, tempat tinggal dan makanan.

"Kita telah mendengar dan menonton hampir setiap hari peristiwa-peristiwa menyayat hati dan menyedihkan yang berlaku di Gaza, Tebing Barat yang berlarutan 75 tahun.

"(Ia) meletakkan kita dalam rasa serba salah yang tersangat dalam, rasa berhutang dengan rakan-rakan saudara mara kita di Gaza. Hutang yang tidak mampu dibayar. Hutang dengan anak-anak, bayi dan orang tua yang syahid di bom," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Untukmu Palestin di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini pada malam Ahad.

Rakyat Kedah berhimpun menyatakan sokongan pada Palestin pada Himpunan Solidariti Untukmu Palestin di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini, pada malam Ahad. - Foto: Ihsan Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Rakyat Kedah berhimpun menyatakan sokongan pada Palestin pada Himpunan Solidariti Untukmu Palestin di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini, pada malam Ahad. - Foto: Ihsan Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad; Pengarah Himpunan Solidariti Untukmu Palestin, Mohd Azam Abd Samat; Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi; Penasihat Yayasan Kedah Sejahtera, Datuk Ahmad Yahaya dan Pengerusi Yayasan Kedah Sejahtera, Musoddak Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Tambah Muhammad Sanusi, ada rakyat Palestin yang maut akibat ditimpa runtuhan bangunan, kediaman ataupun hospital.

"(Ada) syahid kerana kelaparan (berikutan) disekat bekalan air dan elektrik (malah) disekat semuanya terkurung dalam satu penjara terbuka terbesar dunia oleh rejim Zionis Israel di sebuah kawasan yang sebesar bandar Klang tetapi dihuni oleh 2.2 juta jiwa.

"Di sana ada orang-orang Islam yang begitu ramai, ada Kristian. Kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

“Setakat semalam, 10,500 telah syahid (dengan) separuh daripada angka itu adalah kanak-kanak. Satu pertiga daripadanya adalah kaum wanita dan orang tua. Seluruh umat Islam di dunia ini telah berhutang dengan mereka atas satu jumlah yang tidak dapat dinyatakan," katanya.

Beliau berkata, hutang ini akan dibawa sehingga mati melainkan Allah SWT mengetahui sama ada semua rakyat bersungguh-sungguh berusaha sedaya-upaya untuk menimbulkan kesedaran, kecintaan seluruh umat Islam dan umat manusia untuk terus membantu saudara-mara di Gaza serta di seluruh Palestin.

“Kita harap dengan usaha kita yang berterusan (dan) usaha kita yang tidak terhenti-henti sama ada media sosial, sama ada atas usaha kita di kariah di kampung, di surau kita di daerah, di pihak berkuasa tempatan, di tempat kerja, di dalam keluarga, kaum kerabat kita.

“Sehinggalah ke peringkat kerajaan negeri ini atas usaha yang kita bersungguh-sungguh menjelang saat kematian kita. Allah SWT tidak tayangkan jumlah hutang yang kita masih belum bayar kepada anak-anak kita di Palestin," katanya.

Muhammad Sanusi berharap Allah SWT dapat menghapuskan rasa bersalah dan hiba dalam diri semua melalui usaha termasuklah sumbangan dilakukan mereka dalam membantu rakyat Palestin tersebut.

Katanya lagi, Kerajaan Islam walau sehampir mana pun dengan Palestin setakat hari ini belum dapat menghulurkan bantuan yang memadai termasuk dari Persatuan-persatuan Liga Arab.

"Saya mahu (sumbangan) RM 2 juta ini terus meningkat dari sehari ke sehari untuk kita realisasikan sebuah hospital di Gaza dalam masa terdekat ini," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menasihatkan seluruh umat Islam yang memiliki keupayaan kewangan untuk tidak terus menyimpan harta dan kedekut, sebaliknya menyalurkan sumbangan bagi membantu Palestin.

"Saya yakin di atas sifat pemurah, di atas sifat ingin membantu saudara kita terutama di Palestin pada ketika ini, Kedah akan dianugerahkan oleh Allah SWT rezeki yang melimlah ruah dan tidak disangka-sangka," katanya.