HPPNK catat jualan RM2.6 juta

Mohamad menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan pakaian beragam.
Mohamad menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan pakaian beragam.
A
A
A

IPOH - Penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) berjaya mengumpul nilai jualan sebanyak RM2,675,607 setakat jam 12 tengah hari pada Ahad.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, seramai 452,647 pengunjung hadir sejak Jumaat lalu, manakala 36,015 orang dicatatkan secara dalam talian.

"Jumlah nilai transaksi ini membuktikan rakyat Malaysia datang berkunjung di HPPNK untuk mendapatkan barangan keperluan asas yang dijual dengan harga yang berpatutan selain menikmati setiap fokus dan segmen yang ditawarkan.

"Saya yakin sampai malam nanti jumlah pengunjung lebih 500,000, melebihi daripada apa yang kita jangkakan.

"Kehadiran pengunjung adalah bukti sokongan mereka kepada iltizam Kerajaan Perpaduan dalam menghargai jasa dan sumbangan para peladang, peternak dan nelayan yang merupakan wira negara yang sentiasa berusaha untuk memastikan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin," katanya.

Datuk Ramli Sarip membuat persembahan pada acara penutup HPPNK di Ipoh pada Ahad.
Datuk Ramli Sarip membuat persembahan pada acara penutup HPPNK di Ipoh pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan HPPNK 2023 bertemakan 'Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan' di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Artikel Berkaitan:

Mohamad berkata, fokus Agro Madani membuktikan pengunjung diraikan dengan pelbagai produk jualan keperluan asas harian dan produk hasil pertanian.

"Ada 3,000 buah bakul agromadani, lebih 9,000 kampit beras dijual dengan harga RM26 sekampit dan 270,000 biji telur.

"Selain itu, terdapat 200 gerai dan lot gerai agro madani, empayar makanan, industri asas tani dan florikultur serta pelbagai lagi yang menarik kehadiran pengunjung," katanya.

Tambah beliau, pengisian baharu pada HPPNK 2023 yang menarik minat dan memukau pengunjung adalah Madani Agro Light (Agro Parade Night).

Mohamad menyampaikan hadiah kepada pemenang Badang Challenge, Tee Ghia Hoong, 35.
Mohamad menyampaikan hadiah kepada pemenang Badang Challenge, Tee Ghia Hoong, 35.

"Pengisian ini mempamerkan pelbagai kenderaan dan aset digunakan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang dihias lampu dan dekorasi menarik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pihaknya akan mengadakan pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada November tahun hadapan.

"Lepas ini MAHA akan diadakan di lokasi biasa di Serdang. Program itu melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara.

"Saya yakin acara itu akan lebih meriah lagi tahun hadapan," katanya.