Jabatan Perikanan bawa ikan tuna 50kg ke HPPNK 2023

Nor Azlin (berdiri) memberikan penerangan kepada pengunjung yang hadir ke HPPNK 2023 mengenai ikan tuna sirip kuning ketika aktiviti Demonstrasi dan Uji Rasa Loin Tuna Sirip Kuning.
Nor Azlin (berdiri) memberikan penerangan kepada pengunjung yang hadir ke HPPNK 2023 mengenai ikan tuna sirip kuning ketika aktiviti Demonstrasi dan Uji Rasa Loin Tuna Sirip Kuning.
A
A
A

IPOH - Ramai tidak mengetahui bahawa perairan Malaysia mempunyai ikan tuna yang ditangkap nelayan tempatan.

Sehubungan itu, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023, Jabatan Perikanan membawakan ikan tuna sirip kuning atau yellowfin tuna seberat 50 kilogram (kg) yang dibawa khas daripada Wilayah Persekutuan Labuan di ruang pameran Kluster Perikanan.

Pegawai Perikanan Kanan, Jabatan Perikanan, Nor Azlin Mokhtar berkata, industri perikanan tuna di negara ini sedang berkembang dan membangun sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Sekuriti Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan amat komited dalam memajukan industri tuna di negara ini.

"Selama ini ramai yang tidak tahu bahawa perairan kita mempunyai ikan tuna sirip kuning. Ikan ini boleh ditangkap di perairan yang lebih dalam di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan menggunakan pukat jerut ataupun pancing tuna.

"Sempena HPPNK 2023 ini, Jabatan Perikanan membawakan ikan tuna sirip kuning atau yellowfin tuna seberat 50kg yang ditangkap oleh nelayan daripada Wilayah Persekutuan Labuan di ruang pameran Kluster Perikanan untuk tatapan pengunjung," katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena HPPNK 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini.

Beliau ditemui selepas aktiviti Demonstrasi dan Uji Rasa Loin Tuna Sirip Kuning.

Nor Azlin berkata, secara keseluruhan pada tahun 2022, sebanyak 71,353 tan metrik tuna didaratkan dengan nilai RM636 juta.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 54,903 tan metrik atau 77 peratus adalah dari tuna neritik, 3,202 tan metrik (4.5 peratus) dari tuna oseanik dan 13,247 tan metrik (18.5 peratus) adalah dari tuna-like spesies.

Sementara itu, beliau berkata, ikan tuna sirip kuning mempunyai khasiat dan manfaat kepada kesihatan kerana tinggi dengan protein, Omega-3 serta Vitamin B dan D.

Katanya, kandungan protein yang tinggi membantu dalam pembentukan otot, meningkatkan metabolisme dan mengurangkan lemak.

Jelasnya, Omega-3 dalam tuna sirip kuning juga baik untuk kesihatan jantung manakala vitamin B dan D pula membantu dalam pelancaran darah, kesihatan tulang serta kulit.

Dalam pada itu, sesi Demonstrasi dan Uji Rasa Loin Tuna Sirip Kuning dilakukan pengajar kulinari, Cef Faidz Khusainy yang dibawa daripada Klang, Selangor.