Kerajaan kaji cadangan kenaikan harga siling BPT

Mohamad menjual beras tempatan kepada Mohd Fairie Junus, 38, pada Jualan Kombo Madani sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh pada Ahad.
Mohamad menjual beras tempatan kepada Mohd Fairie Junus, 38, pada Jualan Kombo Madani sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan sedang mengkaji cadangan kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) daripada RM2.60 kepada RM3.20 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan dijalankan bersama tiga kementerian lain bagi memastikan keseimbangan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengeluaran beras negara.

"Kena bincang kerana harga kini merupakan harga tahun 2008. Ada pihak mengatakan perlu dikaji semula dan kita tengoklah kerana kalau berlaku (kenaikan) bebanannya bukan kepada satu pihak sahaja iaitu pesawah.

"Kita juga kena mempertimbangkan pemborong, pengilang dan pengguna kerana perlu ada keseimbangan kesemuanya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Jualan Kombo Madani sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Ahad.

Mohamad berkata, perbincangan itu melibatkan kementeriannya bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Kita di peringkat kementerian selalu bermesyuarat dan berbincang perkara ini kerana yang penting adalah situasi menang-menang semua pihak.

"Perkara ini akan diteliti sebelum suatu keputusan dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram bagi menjaga masa depan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah.

Kenaikan harga siling BPT penting bagi mengelakkan berlakunya longgokan padi tempatan.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, penetapan harga siling BPT tidak disemak sejak 15 tahun lalu walaupun gaji minimum sudah dinaikkan sebanyak dua kali dalam tempoh itu.