Ustaz Azhar Idrus pula dihalang berceramah di Pulau Pinang?

Ustaz Azhar Idrus
Ustaz Azhar Idrus
A
A
A

GEORGE TOWN - Pas Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan menyekat pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus daripada menyampaikan kuliah di negeri berkenaan.

Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, pihaknya mengambil berat isu sekatan terhadap asatizah menyampaikan kuliah di Pulau Pinang dengan menggunakan alasan tauliah sedangkan selama ini, masjid dan surau hidup dengan pengimarahan sambil dipantau oleh pihak Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

"Sekatan yang sebenarnya dilihat sangat berunsurkan politik terutamanya daripada pengajar yang dikatakan cenderung kepada parti politik pembangkang menggambarkan satu keputusan yang sangat membangkitkan kemarahan rakyat Pulau Pinang.

"Terbaru, Ustaz Azhar Idrus pula menjadi mangsa ketidakbijakan pencatur politik apabila beliau disekat daripada menyampaikan kuliah di tiga lokasi di Pulau Pinang," katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Muhammad Fawwaz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, penyekatan asatizah ini agar keharmonian rakyat di negeri Pulau Pinang tercinta ini dipelihara.

Sementara itu, Sinar Harian masih mendapatkan kenyataan Exco Agama Islam, Datuk Mohamad Abdul Hamid berhubung isu ini.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan mengenai video pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang mengesahkan beliau telah menerima arahan tidak dibenarkan lagi memberi kuliah di Pulau Pinang selepas 33 tahun berceramah di negeri itu selama ini.

Ucapan beliau itu dipercayai dirakam jemaah di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil dan rakaman video berdurasi 3 minit 08 saat itu turut tular di media sosial pada hujung Oktober lalu.

Artikel Berkaitan: