Tiada pegawai SPRM ditempatkan dalam MITRA

SPRM menafikan terdapat pegawainya yang ditempatkan di MITRA. - Foto Bernama
SPRM menafikan terdapat pegawainya yang ditempatkan di MITRA. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan terdapat pegawainya yang ditempatkan di Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

SPRM dalam satu kenyataan pada Ahad menjelaskan, dakwaan terbabit yang dilaporkan di dua akhbar berbahasa Inggeris yang bertajuk 'MACC stations officer at Mitra for greater transparency' dan 'MACC Officers to join MITRA meeting' pada Sabtu.

Jelas kenyataan itu, SPRM ingin memperjelas dan memperbetulkan fakta yang berkemungkinan akan mengelirukan umum.

"Pertamanya, ketika ini tiada pegawai SPRM yang ditempatkan di MITRA.

"Kedua, pegawai SPRM dilarang terlibat dalam mana-mana mesyuarat lembaga, jawatankuasa atau urus setia berkaitan perolehan di agensi luar mengikut 1 Pekeliling Perbendaharaan (1PP)," katanya pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, berhubung isu penyelewengan dana MITRA, pihaknya telah selesai membuat siasatan terhadap isu berkenaan dari tahun 2019 ke 2021.

Kata kenyetaan itu, SPRM telah berjaya mendapat pendakwaan terhadap 12 kes dengan 10 kes masih dibicarakan di mahkamah, manakala dua kes tertuduh telah mengaku salah.

"Hasil dapatan siasatan, SPRM juga telah mengambil tindakan mengkaji tatakelola pengurusan dana MITRA untuk tujuan mengukuhkan tatacara dan ketelusan pengagihan dana MITRA kepada masyarakat India di negara ini," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, Laporan Khidmat Nasihat Amalan, Sistem dan Tatacara Pengurusan Dana Untuk Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India oleh MITRA telah diberikan kepada Kementerian Perpaduan Negara pada 22 Februari 2022 sebagai langkah pencegahan untuk menutup sebarang ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana kerajaan.

"Untuk makluman, Akta SPRM 2009 memperkasakan SPRM bukan hanya untuk menyiasat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, malah tindakan pencegahan untuk memastikan kesalahan yang sama tidak berulang pada masa hadapan," jelas kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!