Mampukah ekonomi negara kembali bertaring?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA dahulu pernah digelar sebagai Harimau Asia (Asian Tiger Economy) berikutan kadar pertumbuhan dan perindustrian yang sangat tinggi sekitar tahun 1990-an.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia secara purata tumbuh sekitar 8.5 peratus dari tahun 1990 hingga 1997.

Kadar pengangguran pula menurun dari 5.1 peratus ke 2.4 peratus dalam tempoh yang sama.

Pengurusan kewangan negara ketika itu yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini adalah Perdana Menteri Kesepuluh telah mencatatkan lebihan kewangan dalam belanjawan negara untuk lima tahun berturut-turut sejak tahun 1992.

Pencapaian beliau mendapat pengiktirafan oleh majalah kewangan, Asia Money Magazine pada tahun 1996 sebagai Menteri Kewangan Terbaik di Asia.

Anwar Ibrahim adalah Menteri Kewangan Malaysia yang pertama dinobatkan dengan penganugerahan tersebut.

Namun, krisis kewangan Asia yang mula terbit dari negara Thailand pada tahun 1997 telah menggoyahkan ekonomi dan kewangan negara.

Krisis tersebut menyebabkan mata wang dan pasaran saham terus menjunam. Kerajaan pada ketika itu berbelanja berbilion ringgit demi kepentingan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi krisis terbesar yang menghimpit ekonomi negara dan juga dunia adalah pandemik Covid-19.

Krisis ini yang mula tercetus pada tahun 2020 memberi satu kesan yang amat besar meliputi semua sektor dalam negara.

Kadar pengangguran naik mencanak sehingga mencecah paras lebih lima peratus akibat banyak sektor utama negara ditutup bagi membendung wabak tersebut daripada terus merebak.

Kerajaan ketika itu mengambil langkah segera dengan menyuntik ekonomi melalui lapan Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM83 bilion khusus untuk rakyat dan perniagaan.

Krisis yang tidak diduga seperti ini sememangnya memberi kesan yang panjang kepada pengurusan kewangan dan ekonomi negara.

Perkara ini boleh dipulihkan namun ia memerlukan iltizam dan kesepakatan daripada semua pihak untuk memastikan ekonomi negara dapat bersaing dengan kuasa besar ekonomi dunia.

Setiap Perdana Menteri atau kerajaan mempunyai model ekonomi dan rancangannya yang tersendiri. Pendekatan yang diambil juga bergantung kepada perkembangan ekonomi semasa.

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk melalui 20 parti komponen dan diterajui Anwar telah meluncurkan satu model ekonomi baharu yang lebih menyeluruh iaitu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

Kerangka Ekonomi Madani yang ingin diterapkan oleh Kerajaan Perpaduan mempunyai struktur dan asas yang jelas untuk memacu ekonomi negara.

Pengalaman Anwar sewaktu menjawat jawatan Menteri Kewangan dahulu sudah tentu memberi kelebihan buat beliau untuk melaksanakan perkara yang tertangguh seterusnya meneruskan pencapaian seperti lebihan kewangan dalam belanjawan.

Ramai menaruh harapan yang tinggi terhadap beliau terutama dalam aspek pengurusan kewangan dan ekonomi, namun harus kita sedar bahawa beliau mengambil alih Kerajaan ketika negara menghadapi jumlah hutang yang amat tinggi.

Impak pandemik Covid-19 dan juga isu geopolitik yang masih tidak reda turut memberi tekanan kepada setiap aspek kitaran ekonomi.

Lantas, reformasi yang ingin dibawa Perdana Menteri lebih cenderung kepada penstrukturan semula ekonomi negara dengan menjadikan peningkatan taraf hidup rakyat sebagai agenda utama.

Salah satu aspek yang ditekankan dalam kerangka Ekonomi Madani adalah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berdaya saing dan bertaraf global.

Hal ini terbukti bukan perkara mudah, namun pengaruh dan kenalan Perdana Menteri yang meluas sehingga ke peringkat antarabangsa dapat memudahkan kerja Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.

Untuk enam bulan pertama tahun ini, Malaysia telah menarik sejumlah RM132.6 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang melibatkan 2,651 projek dari Januari hingga Jun 2023 dan dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP2023) yang dilancarkan pada September lalu juga adalah salah satu langkah penting dalam perjalanan Malaysia ke arah transformasi industri yang mampan dan meningkatkan daya saing global.

China juga turut memberi komitmen dan sokongan kepada kerajaan untuk menjayakan NIMP2030 sebagai usaha ke arah negara industri berteknologi tinggi.

Arab Saudi juga mengalu-alukan pelancaran National New Renewable Energy Roadmap (NETR) sebagai langkah positif dalam usaha memacu transisi ke tenaga bersih.

Sokongan oleh kedua-dua negara tersebut membuktikan dasar baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan kini berada di landasan yang tepat sekali gus memberi keyakinan kepada lebih banyak negara untuk turut sama bekerjasama dengan Malaysia.

Berbalik kepada kejayaan Anwar mengekalkan lebihan kewangan dalam belanjawan negara sebelum ini, kali ini beliau mahu meneruskan rentak tersebut ke arah mencapai kemampanan fiskal.

Sepertimana yang ditekankan dalam model Ekonomi Madani, kerajaan ini menetapkan sasaran defisit fiskal sebanyak 3 peratus atau lebih rendah.

Belanjawan 2024 yang dibentang baru-baru ini menyaksikan 26 tahun belanjawan negara berada pada kadar defisit.

Kementerian Kewangan juga dilihat tegas dalam hal ini dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang telah dibentang dalam sesi Parlimen baru-baru ini.

Akta Tanggungjawab Fiskal itu akan merangkumi beberapa komponen antaranya had peratusan hutang Kerajaan tidak melebihi 65 peratus daripada KDNK serta menanggung bayaran khidmat hutang yang tidak melebihi 15 peratus daripada belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan.

Pertumbuhan ekonomi negara dijangka mampu mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan sekiranya kerajaan dapat mengekalkan disiplin untuk mengurangkan kekangan fiskalnya.

Anwar merupakan figura yang terkenal dalam memperkasa nilai-nilai integriti dan tata kelola.

Beliau turut menyelitkan elemen ini ke dalam kerangka ekonomi Madani untuk memastikan tahap akauntabiliti dan tadbir urus kewangan sentiasa telus.

Langkah ini juga dijangka mampu membantu kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Ramai melihat sasaran dalam Ekonomi Madani agak tidak realistik berdasarkan perkembangan situasi ekonomi global yang semakin tidak menentu.

Justeru, kesepakatan daripada semua pihak amat ditagih pada waktu ini kerana negara memerlukan Kerajaan yang sentiasa proaktif dan cakna dalam menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat.

Semoga visi dan misi dalam ekonomi Madani mampu menjadi 'game changer' kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

* Ikhmal Irwansyah ialah pegawai penyelidik sebuah yayasan di ibu negara