Kelantan hanya sumbang 1.8 peratus pembangunan ekonomi negara

Ahmad Zahid (kiri) semasa hadir pada Jelajah Perpaduan Madani di Pusat Transformasi Ilmu Kampung Cherang Bukit Tiu, Machang pada Ahad.
Ahmad Zahid (kiri) semasa hadir pada Jelajah Perpaduan Madani di Pusat Transformasi Ilmu Kampung Cherang Bukit Tiu, Machang pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Kelantan hanya menyumbang 1.8 peratus kepada pembangunan ekonomi negara.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kegagalan pentadbiran Pas di Kelantan menyaksikan negeri ini hanya menjadi penyumbang terendah.

"Saya akui Kelantan ramai golongan bijak pandai, namun kelebihan itu tidak dimanfaatkan ekoran kegagalan pentadbiran kerajaan ketika ini.

"Semua golongan itu berada di luar Kelantan disebabkan tidak mempunyai peluang pekerjaan menyebabkan mereka berhijrah," katanya semasa berucap pada Jelajah Perpaduan Madani di Pusat Transformasi Ilmu Kampung Cherang Bukit Tiu, di sini pada Ahad.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, BN dan PH tidak menjanjikan syurga neraka, sebaliknya berazam majukan Kelantan.

"Kesian orang Kelantan. Sudah 33 tahun Pas gagal mentadbir negeri ini," ujarnya.