La Luna: Santai dan menghiburkan

Filem La Luna hasil karya pengarah berbakat dari Singapura, M Raihan Halim.
Filem La Luna hasil karya pengarah berbakat dari Singapura, M Raihan Halim.
A
A
A

SANTAI dan menghiburkan. Dua perkataan itu sudah cukup untuk menggambarkan perjalanan filem La Luna hasil karya pengarah berbakat dari Singapura, M Raihan Halim.

Naskhah itu menyaksikan gandingan bintang lama dan baharu seperti Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Namron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin, Wafiy Ilhan dan Syumaila Salihin.

Filem yang menelan belanja S$1.1 juta (RM3.5 juta) itu mengisahkan kehidupan di Kampung Bras Basah di mana ketua kampungnya yang dikenali sebagai Tok Hassan tegas khususnya dalam soal agama.

Kehadiran Hanie Abdullah ke Bras Basah dan membuka kedai pakaian dalam dikenali ‘La Luna’ telah mengubah kehidupan penduduk kampung itu.Di sebalik suasana positif itu, Tok Hassan melihat Hanie sebagai syaitan yang mahu menyesatkan penduduk kampung dan mula mengatur perancangan untuk mengusir Hanie dari kampung.

Sebagai Ketua Kampung Bras Basah, Tok Hassan meletakkan pelbagai syarat buat penduduk kampung itu.
Sebagai Ketua Kampung Bras Basah, Tok Hassan meletakkan pelbagai syarat buat penduduk kampung itu.

Biarpun memilih tema percintaan, M Raihan berjaya menghasilkan sebuah jalan cerita berbeza dan memberi nafas baharu terhadap genre yang menjadi pilihan ramai penonton.

Jalan cerita filem ini sebenarnya menyentuh beberapa isu taboo yang jarang diketengahkan secara terang-terangan seperti kemesraan antara suami isteri dan juga pakaian dalam. Namun olahan yang dibuat M Raihan memberi satu persepsi berbeza.

Bagaimanapun tegas M Raihan ketika sesi sidang media, dia bukan mahu mempromosikan hubungan suami isteri, tetapi bagaimana suami isteri mengekalkan kemesraan.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, filem ini juga mengangkat hubungan antara bapa dan anak di mana seorang bapa yang tegas membentuk dan melindungi anak perempuannya yang semakin membesar.

Selain itu, sisi pemerkasaan wanita turut dipaparkan dengan kemas dalam filem ini. Semua perkara kecil ini diadun dengan cukup baik oleh M Raihan sehingga setiap watak yang muncul walau untuk seketika tetap ada fungsinya.

Gandingan pertama kali Sam dan Sharifah Amani membawa kelainan di layar perak.
Gandingan pertama kali Sam dan Sharifah Amani membawa kelainan di layar perak.

Menyentuh tentang lakonan pula, penulis melihat pemilihan M Raihan cukup tepat. Gandingan pertama kali Sam dan Sharifah Amani selaku teraju utama memberi nafas baharu dan menyegarkan.

Kedua-duanya merupakan pelakon hebat dan keserasian mereka tidak dibuat-buat atau tampak janggal.

Sam contohnya sudah diketahui keupayaannya membawakan watak pegawai unit beruniform - cukup tangkas dan serius. Cuma kali ini, Sam tampil lebih santai dan penuh sisi humor.

Gandingan pertama kali Farah Ahmad dan Namron sebagai pasangan suami isteri juga tidak kurang hebatnya. Biarpun tidak melontarkan banyak dialog, tetapi bahasa badan mereka akan membuatkan penonton tidak kering gusi.

Bukan itu sahaja, Hisyam juga tampil dengan sisi lakonan berbeza. Tidak ada lagi sisi tampan dan imej kemas, sebaliknya pelakon berasal dari Singapura itu bakal membuatkan penonton geram dan marah.

Kehadiran Hanie membawa perubahan kepada penduduk kampung.
Kehadiran Hanie membawa perubahan kepada penduduk kampung.

Satu perkara lagi yang mencantikkan lagi filem ini adalah sinematografi yang luar biasa melibatkan suasana kampung di Kuala Kangsar, Perak.

Jadi bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan filem ini dan berjayakah Tok Hassan mengusir Hanie dari Bras Basah, jangan lupa menyaksikan La Luna di pawagam bermula 9 November.