PRN: Menang sudah, masa untuk tunai janji

PRN di enam negeri pada 12 Ogos lalu menyaksikan dua gabungan parti terbesar iaitu PN dan PN masing-masing menguasai tiga negeri sekali gus berjaya membentuk kerajaan. - Foto Bernama
DUN Sijangkang menjadi tumpuan PRN Selangor kali ini dan akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu.
Perikatan Nasional mempertaruhkan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan penyandang kerusi tersebut dan juga Ahli Parlimen Kuala Langat. Beliau akan dicabar calon Barisan Nasional, Mohd Al-Hafizi Abu Bakar.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
PRN di enam negeri pada 12 Ogos lalu menyaksikan dua gabungan parti terbesar iaitu PN dan PN masing-masing menguasai tiga negeri sekali gus berjaya membentuk kerajaan. - Foto Bernama DUN Sijangkang menjadi tumpuan PRN Selangor kali ini dan akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu. Perikatan Nasional mempertaruhkan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan penyandang kerusi tersebut dan juga Ahli Parlimen Kuala Langat. Beliau akan dicabar calon Barisan Nasional, Mohd Al-Hafizi Abu Bakar. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

DEMIKIANLAH sudah episod Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang telah berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos lalu yang mana menyaksikan dua gabungan parti terbesar iaitu Pakatan Harapan (PN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing menguasai tiga negeri sekali gus berjaya membentuk kerajaan.

Secara keseluruhannya, seramai 9.67 juta pemilih berdaftar direkodkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Bagaimanapun, kali ini peratusan keluar mengundi didapati agak rendah di keenam-enam negeri tersebut apabila masing-masing tidak mencapai 85 peratus seperti yang disasarkan SPR.

Paling tinggi pun adalah di Terengganu yang mencatatkan peratusan keluar mengundi pada kadar 74.79 peratus diikuti Kedah (73.86 peratus), Pulau Pinang (72.67 peratus), Selangor (72 peratus), Negeri Sembilan (68.35 Peratus) manakala Kelantan mencatatkan peratusan terendah dengan kadar 60.96 peratus.

Tidak perlu diulas panjang mengapa peratusan keluar mengundi PRN kali ini mencatatkan peratusan terendah kerana pelbagai pihak telah membuat pelbagai analisis sebelum ini yang antaranya mungkin disebabkan faktor masa, jarak (pengundi luar), kos kewangan, pendekatan kempen calon dan parti-parti yang bertanding sehinggalah kepada sentimen para pengundi itu sendiri.

Bagi yang kalah, tidak perlu kecewa. Terimalah keputusan seadanya kerana dalam politik, kebiasaannya hanya ada tiga jalan sahaja iaitu ‘kalah atau menang’, ‘sertai atau mati’ atau ‘jalan terus’. Semua politikus sememangnya faham akan perkara ini.

Bagi yang menang, cabaran sudah tentunya menanti. Banyak janji serta tawaran dengan pelbagai slogan telah dibuat. Maka, bagi yang telah memang, bersegeralah menunaikannya, janganlah pula dianggap sebagai ‘bukan kitab suci’.

Sudah tentunya rakyat tidak mahu menunggu lama untuk janji itu dipenuhi. Undi yang mereka berikan itu mungkin refleksi situasi sebenar kesulitan yang dihadapi mereka sejak sekian lama barang kali dari segi kewangan, peluang pendidikan, kos perumahan, peluang pekerjaan, pendapatan dan sebagainya.

Janji ini tidak boleh buat main-main, kerana kegagalan melunaskannya akan memberi akibat besar bukan hanya di atas dunia, bahkan dituntut di akhirat kelak.

Artikel Berkaitan:

Jangan pula selepas PRN ini timbul pula drama-drama politik sama ada dari segi perebutan jawatan dan sebagainya.

Peralihan sokongan pengundi Melayu

PN diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah)
menang 33 kerusi daripada 36 kerusi DUN Kedah pada PRN kali ini.
PN diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menang 33 kerusi daripada 36 kerusi DUN Kedah pada PRN kali ini.

Melihat secara keseluruhan keputusan PRN kali ini, PN muncul sebagai parti yang mendominasi pengundian apabila memenangi 146 kerusi daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Jumlah itu mengatasi PH yang mencatatkan kemenangan 80 kerusi manakala parti gabungannya, Barisan Nasional (BN) hanya mencatatkan 19 kerusi DUN daripada 108 kerusi DUN yang disertai.

PH-BN berjaya mempertahankan rekod kemenangan dua pertiga di Pulau Pinang sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan kelebihan majoriti 29 kerusi dan di Negeri Sembilan dengan kelebihan 31 kerusi.

Bagaimanapun, di Selangor, PH-BN hanya mampu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah melalui 34 kerusi DUN berbanding 51 kerusi PH pada PRU14.

Sementara itu, PN mungkin boleh berbangga dengan pencapaiannya pada PRN kali ini dengan membentuk kerajaan majoriti dua pertiga di Kelantan, Kedah termasuklah di Terengganu yang menyapu bersih kesemua 32 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Malah, PN turut menguasai 11 kerusi DUN di Pulau Pinang berbanding hanya satu kerusi pada PRU14. Situasi yang sama turut berlaku di Selangor apabila PN bakal meletakkan 22 wakilnya sebagai pembangkang dalam Dewan Negeri Selangor.

Kebanyakan kerusi yang dimenangi PN terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor merupakan kerusi-kerusi yang majoritinya adalah pengundi Melayu.

Apa pun pandangan yang dilontarkan, realitinya keputusan PRN kali ini memperlihatkan satu peralihan besar sokongan orang Melayu kepada PN sebagai sebuah parti yang diharapkan dapat menjamin kepentingan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pemimpin tertinggi Kerajaan Perpaduan ketika Sesi Keputusan PRN enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pemimpin tertinggi Kerajaan Perpaduan ketika Sesi Keputusan PRN enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu.



Paling tidak, ada juga pandangan bahawa peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PN itu seolah-olah menunjukkan mereka tidak lagi menerima ‘kedinamikan’ UMNO dalam situasi politik pada hari ini. Walhal, sebilangan besar pengundi Melayu sebelum ini sudah sekian lama memberikan sokongan mereka kepada UMNO dan BN.

Apa pun pertimbangannya, kita tidak boleh menafikan corak perubahan yang telah berlaku terhadap pengundi Melayu termasuk dalam kalangan pengundi muda.

Malah, perubahan ini jelas menunjukkan bahawa suara, pandangan serta tuntutan pengundi Melayu masih lagi menjadi tunjang dan akan terus relevan dalam mencorakkan hala tuju politik negeri dan negara pada masa depan.

Memang benar, kaum-kaum lain juga turut memberi makna besar kepada perkembangan politik negeri dan negara ini sejak merdeka lagi. Itu fakta yang tiada sesiapa pun boleh mempertikaikannya.

Namun hakikatnya, keputusan PRN kali ini sedikit sebanyak boleh dijadikan pengajaran kepada mana-mana parti politik pada masa depan bahawa sentimen pengundi Melayu bukannya hanya boleh dipandang setakat soal material (tawaran-tawaran), agama, budaya, kenegerian atau kedaerahan semata-mata.

Sebaliknya, para pengundi Melayu mahu satu bentuk pentadbiran serta dasar-dasar lebih jelas yang mampu memberi keadilan dan perlindungan kepada mereka khususnya dalam aspek pembinaan kekuatan ekonomi serta pembangunan yang seimbang di antara bandar dengan luar bandar.

Justeru, kepada parti-parti politik Melayu, ambillah iktibar. Dokongan yang diterima daripada pengundi Melayu janganlah disia-siakan.