Trash Hero MPAJ kutip 59kg sampah

50 kakitangan MPAJ mengutip 59kg sampah di Laman Rekreasi Tasek Tambahan.
50 kakitangan MPAJ mengutip 59kg sampah di Laman Rekreasi Tasek Tambahan.
A
A
A

AMPANG - Seramai 50 kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengutip 59 kilogram (kg) sampah dalam di Laman Rekreasi Tasek Tambahan di sini dalam tempoh lebih kurang tiga jam.

MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan aktiviti berkenaan dilaksanakan sempena Program Trash Hero yang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga jam 12 tengah hari pada Jumaat.

"Trash Hero dianjurkan bagi menggalakkan masyarakat supaya membudayakan amalan kitar semula dan pengurusan sampah yang betul, selain memupuk sifat tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk memelihara kebersihan kawasan setempat.

"Plogging turut dilaksanakan dalam radius 2.5 kilometer dari laman rekreasi dan hasilnya sebanyak 16.1kg sampah kitar semula serta 42.9kg sampah tabur (dihantar ke tapak pelupusan) dikumpulkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 59kg sampah," menurut kenyataan MPAJ pada Sabtu.

Menurut kenyataan, program itu akan terus dilaksanakan secara berkala di lokasi-lokasi lain dengan menyasarkan penyertaan daripada kakitangan MPAJ sendiri, komuniti dan juga pelajar di kawasan pentadbiran MPAJ.

Sebanyak 16.1kg sampah kitar semula serta 42.9kg sampah tabur dapat dikumpulkan sempena Program Trash Hero pada Jumaat.
Sebanyak 16.1kg sampah kitar semula serta 42.9kg sampah tabur dapat dikumpulkan sempena Program Trash Hero pada Jumaat.

Selain daripada itu, MPAJ turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Taklimat Projek Perintis Rawatan Sisa Makanan menggunakan Lalat Askar Hitam atau Black Soldier Fly (BSF) pada Oktober lalu.

"Ini sebagai inisiatif untuk mendidik masyarakat khususnya komuniti di kawasan pentadbiran MPAJ menguruskan sisa makanan dengan lestari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut MPAJ, penternakan BSF mampu mengurangkan sisa makanan yang perlu dihantar ke pusat pelupusan memandangkan BSF mampu menguraikan sisa makanan seterusnya menghasilkan baja kompos yang boleh memberi manfaat kepada kebun komuniti.

"Taklimat itu dihadiri 58 wakil daripada 17 kebun komuniti MPAJ dan diadakan bertujuan untuk memperkenalkan dan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai kaedah dan manfaat penternakan BSF kepada kebun komuniti di kawasan pentadbiran MPAJ.

"Program juga merupakan salah satu inisiatif MPAJ untuk mengaplikasikan konsep ekonomi kitaran melalui perawatan sisa makanan oleh BSF untuk menghasilkan baja kompos," kata pihak berkuasa tempatan itu.

MPAJ akan terus bekerjasama dengan pihak UKM dengan sokongan daripada KPKT untuk menjayakan projek penternakan BSF seta melihat keberkesanan pentemakan BSF dalam penghasilan baja kompos di kebun-kebun komuniti MPAJ yang akan mula dilaksanakan pada tahun akan datang.