Ringgit diunjur diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

Ringgit diunjur diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan ketika sentimen pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat FOMC. - Gambar hiasan
Ringgit diunjur diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan ketika sentimen pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat FOMC. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT diunjur diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan ketika sentimen pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC).

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, susulan peningkatan ringgit yang ketara pada minggu ini, pergerakan gandingan dolar Amerika Syarikat (AS) dan ringgit dijangka sebaliknya pada minggu depan dan bersandarkan kepada petunjuk baharu menerusi hasil daripada mesyuarat FOMC pada 25-26 Julai ini.

"Sehubungan itu, kami menjangkakan ringgit akan bergerak dalam lingkungan RM4.50 hingga RM4.52 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.5255/5280 daripada 4.6655/6675 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.9338/9371 daripada 5.9466/9492 pada Jumaat minggu lepas namun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2659/2679 daripada 3.2601/2617 serta susut berbanding euro kepada 5.0799/0827 daripada 5.0765/0787, sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun diniagakan lebih tinggi berbanding kelompok mata wang Asean lain termasuk mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 302.5/302.8 daripada 308.0/308.3 sebelum ini dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.31/8.33 daripada 8.39/8.39 pada Jumaat lepas.

Ia turut mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4263/4287 daripada 3.4511/4528 pada minggu sebelumnya dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.0689/0814 daripada 13.2471/2588. - Bernama