ATM siap siaga laksana Op Murni bantu mangsa banjir

ATM turut menyediakan bantuan bagi program pemulihan dan pembangunan semula kepada orang ramai akibat bencana banjir.
ATM turut menyediakan bantuan bagi program pemulihan dan pembangunan semula kepada orang ramai akibat bencana banjir.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap siaga melaksanakan Operasi Murni (Op Murni) bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ATM bersedia membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengendalikan situasi bencana sekiranya diperlukan.

Menurutnya, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Muhammad Ab Rahman pada 29 September lalu telah mengeluarkan Direktif Pemula Op Murni yang bertujuan memberi bantuan kemanusiaan dan kecemasan kepada mangsa bencana.

"Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan telah dilantik sebagai peneraju Op Murni melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

"Beliau juga diberi kuasa Operational Command (OPCOMD) ke atas atur gerak trup dan mengarahkan tindakan segera selaras dengan arahan (Majlis Keselamatan Negara (MKN)," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Tambahnya, Op Murni akan dilaksanakan apabila jawatankuasa pengurusan bencana sama ada di peringkat pusat, negeri atau daerah memerlukan khidmat ATM.

Dua anggota ATM membantu mengangkat barangan keperluan mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan mangsa bencana.
Dua anggota ATM membantu mengangkat barangan keperluan mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan mangsa bencana.

"ATM akan bertindak membantu agensi-agensi kerajaan berkaitan dalam memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir termasuk membaik pulih perkhidmatan awam (utiliti).

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, skop penugasan ATM semasa berlaku bencana termasuk menyediakan bantuan keangggotaan di semua peringkat, menyediakan bantuan pengangkutan secara terhad bagi pergerakan di darat, udara dan laut," katanya.

Jelasnya, ATM turut menyediakan bantuan peralatan logistik seperti peralatan jentera bagi kerja-kerja pertolongan semasa bencana, menyediakan bantuan khidmat kepakaran seperti pakar letupan, kejuruteraan serta perhubungan perubatan medan.

Selain itu, menurutnya, ATM juga bertindak membantu melakukan pemindahan ketika bencana, bantuan penyelam bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta menyediakan bantuan bagi program pemulihan dan pembangunan semula selepas bencana.

"Keseluruhan siap sedia trup ATM di seluruh negara melibatkan seramai 1,003 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) sebanyak 17,613 orang.

Penglibatan ATM bersama agensi kerajaan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Penglibatan ATM bersama agensi kerajaan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

"Kekuatan itu melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," jelas kenyataan itu.

Selain itu ATM berkata, hospital medan ATM tahap dua yang mempunyai kemudahan dewan bedah, bius dan unit rawatan rapi (ICU) akan diatur gerak sekiranya hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terputus hubungan.

Tambahnya, hospital medan ATM itu membabitkan sebanyak 112 petugas terdiri daripada enam pakar perubatan, pegawai perubatan (6 orang), manakala selebihnya adalah petugas sokongan klinikal dan bukan klinikal.