Ringgit ditutup rendah hari keempat berturut-turut

Ringgit susut kepada 4.7065/7105 pada jam 6 petang Jumaat berbanding dolar AS 4.6895/6965 ketika ditutup pada Khamis. - Gambar hiasan
Ringgit susut kepada 4.7065/7105 pada jam 6 petang Jumaat berbanding dolar AS 4.6895/6965 ketika ditutup pada Khamis. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan aliran menurunnya untuk ditutup rendah buat hari keempat berturut-turut berikutan kenyataan yang cenderung menaikkan kadar faedah oleh Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (Fed) Jerome Powell mengenai dasar monetari AS pada Khamis.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.7065/7105 berbanding dolar AS 4.6895/6965 ketika ditutup pada Khamis.

Ringgit kini mengakhiri sebahagian besar peningkatan baru-baru ini, namun kekal di atas paras terendah dalam 25 tahun.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenyataan Powell semasa forum Tabung Kewangan Antarabangsa malam tadi mempunyai implikasi serius terhadap pasaran kewangan.

Dilaporkan bahawa kenyataan Powell mencadangkan bahawa bank pusat Amerika tidak yakin 100 peratus kitaran kenaikan kadar telah berakhir dan beliau membayangkan kadar faedah AS mungkin perlu terus ditingkatkan untuk mengatasi inflasi di Amerika Syarikat.

"Ia (akan menjadikan) pasaran memikirkan semula strategi Fed untuk terus menurunkan inflasi walaupun pasaran buruh AS semakin lemah pada Oktober," katanya.

Oleh itu, beliau menjangkakan pasaran forex akan terus berhati-hati dari sekarang hingga Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS seterusnya pada 12-13 Disember.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Artikel Berkaitan:

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1072/1101 daripada 3.1050/1099 ketika ditutup pada Khamis, susut berbanding euro kepada 5.0232/0275 daripada 5.0173/0248 semalam, dan meningkat daripada pound Britain kepada 5.7480/7529 daripada 5.7695/7781 sebelum itu.

Ringgit juga kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4599/4631 daripada 3.4563/4617 pada Khamis, merosot berbanding peso Filipina kepada 8.41/8.42 daripada 8.39/8.41 sebelumnya dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 299.8/300.2 daripada 299.5/300.1 semalam. Ia naik berbanding baht Thai kepada 13.1108/1267 daripada 13.1802/2065 ketika ditutup pada Khamis. - Bernama