Krisis kesihatan di Gaza semakin kritikal

Rakyat Palestin beratur untuk menerima makanan di dapur amal sementara di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada Khamis. - Foto Xinhua
Rakyat Palestin beratur untuk menerima makanan di dapur amal sementara di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada Khamis. - Foto Xinhua
A
A
A

ISTANBUL - Kira-kira 380 bayi baru lahir dan 4,600 wanita hamil yang hilang tempat tinggal di Semenanjung Gaza memerlukan rawatan perubatan, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Khamis.

Agensi PBB itu memaklumkan menerusi platform X bahawa pihaknya berupaya menyediakan rawatan selepas bersalin tetapi persekitaran di tempat perlindungan UNRWA tidak sesuai untuk bayi baru lahir.

Citing the UN Population Fund (UNFPA), UNRWA said there are 50,000 pregnant women in the Gaza Strip and more than 180 are giving birth every day.

Menurut Dana Penduduk PBB (UNFPA) terdapat sekitar 50,000 wanita hamil di Semenanjung Gaza dan lebih 180 bersalin setiap hari, lapor Agensi Anadolu.

Satu-satunya hospital khas untuk kanak-kanak di gaza tidak berfungsi

Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi di barat Gaza tidak lagi beroperasi pada Khamis selepas generatornya gagal berfungsi, menyebabkan nyawa 38 kanak-kanak Palestin yang menderita kegagalan buah pinggang di ambang bahaya.

"Seramai 38 kanak-kanak yang mengalami kegagalan buah pinggang tidak dapat menjalani dialisis selepas Hospital Al-Rantisi, berhenti beroperasi kerana kehabisan bahan api," kata jurucakap bagi Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza, Ashraf Al-Qudra.

Terdahulu pada Khamis, Al-Qudra mengumumkan semua perkhidmatan perubatan untuk kanak-kanak di hospital dan di Hospital Al-Nasr dihentikan kerana masalah yang sama.

Bagaimanapun, unit rawatan rapi dan taska yang bergantung kepada generator yang lebih kecil masih beroperasi.


Sebahagian Hospital di seluruh Gaza hentikan operasi

Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa 18 daripada 35 hospital di seluruh Gaza tidak lagi beroperasi, manakala 71 peratus kemudahan penjagaan asas telah ditutup kerana kekurangan bahan api atau pengeboman Israel.


Kanak-kanak di Gaza kumpulan paling berisiko terkena wabak penyakit bawaan air seperti taun.
Kanak-kanak di Gaza kumpulan paling berisiko terkena wabak penyakit bawaan air seperti taun.

Dalam situasi ini, doktor terpaksa melakukan pembedahan tanpa bius terutama terhadap individu yang cedera dan wanita yang bersalin secara pembedahan.

Pada 24 Oktober, Menteri Kesihatan Palestin Mai Alkaila mengumumkan sistem kesihatan di Semenanjung Gaza telah lumpuh.

"Bermakna mulai hari ini, semua yang cedera termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas tidak lagi mendapat rawatan manakala pesakit kanser tidak dapat dirawat atau menjalani sesi kemoterapi dan pesakit buah pinggang tidak dapat menjalani dialisis, sementara nyawa beratus-ratus bayi pramatang kini berada dalam bahaya," katanya.


Angka Kematian Terus Meningkat

Sekurang-kurangnya 10,812 rakyat Palestin termasuk 4,412 kanak-kanak dan 2,918 wanita telah terbunuh manakala lebih 26,000 lagi cedera dalam serangan udara dan darat rejim Israel sejak 7 Oktober.

Sementara itu, seramai 2,650 orang, termasuk 1,400 kanak-kanak dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan, kata Al-Qudra.

"Pencerobohan Israel telah menyebabkan 195 pegawai perubatan maut dan 51 ambulans musnah,” katanya.

Selain angka korban yang tinggi dan mereka yang hilang tempat tinggal terus meningkat, bekalan asas juga semakin berkurangan untuk 2.3 juta penduduk Gaza disebabkan pengepungan Israel. - Bernama/ Anadolu/Wafa


Gambar diambil dari sempadan Israel dengan Semenanjung Gaza menunjukkan pengeboman Israel di utara Semenanjung Gaza pada Khamis di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan pejuang Hamas. - Foto AFP
Gambar diambil dari sempadan Israel dengan Semenanjung Gaza menunjukkan pengeboman Israel di utara Semenanjung Gaza pada Khamis di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan pejuang Hamas. - Foto AFP

Israel dakwa musnahkan 130 terowong bawah tanah Hamas

Tentera Israel mendakwa memusnahkan sebanyak 130 terowong bawah tanah milik kumpulan pejuang Hamas sejak permulaan operasi darat di Gaza.

Dakwaan itu dibuat oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menerusi satu kenyataan.

Kata kenyataan itu, pasukan IDF sedang berusaha untuk mengesan dan memusnahkan infrastruktur pejuang Hamas termasuk terowong bawah tanahnya di Gaza.

Menurut kenyataan itu, bekalan air dan oksigen turut ditemukan dalam terowong itu yang menunjukkan persiapan Hamas untuk tinggal di bawah tanah.

Pada Khamis, IDF menerusi satu kenyataan mendakwa pasukannya memusnahkan sebuah terowong milik Hamas berhampiran sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di kawasan Beit Hanoun, utara Gaza.

IDF turut berkongsi video kamera dron yang didakwa memaparkan kemusnahan berlaku berhampiran sekolah itu. - Awani


Kelihatan asap berkepul-kepul di bandar Jenin, Tebing Barat pada Khamis. - Foto Xinhua
Kelihatan asap berkepul-kepul di bandar Jenin, Tebing Barat pada Khamis. - Foto Xinhua

Israel lancar serangan di Tebing Barat, 14 terkorban

Selepas mengepung Gaza dan membunuh ramai penduduk awam di wilayah itu, rejim Israel melancarkan serangan bertubi-tubi tanpa henti pula di Tebing Barat.

Ia susulan 14 rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran paliing dahsyat di kawasan itu dalam tempoh beberapa bulan.

Tentera Israel menyerbu bandar Jenin dengan pertempuran bersenjata dilancarkan dalam tempoh berjam-jam lamanya.

Imej dipaparkan turut menunjukkan asap putih dan serpihan tembakan bertaburan di atas jalan.

Menurut saksi, tembakan kedengaran selama berjam lamanya di antara Israel dengan ratusan pejuang.

Israel kini menyasarkan operasi di bandar Jenin, lokasi kem pelarian atas dakwaan untuk menghapuskan kumpulan pejuang.

Mereka menggunakan teknologi dron yang canggih untuk tujuan itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, antara yang terbunuh ialah seorang remaja lelaki berusia 15 tahun.

Pertempuran juga berlaku di kawasan lain di Tebing Barat dengan kematian dilaporkan berhampiran Baitulaham, Nablus dan Hebron serta di pinggir Ramallah.

Sekurang-kurangnya 178 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat sejak serangan 7 Oktober dari Gaza ke atas Israel. - Awani