Mangsa banjir di Perak meningkat, Selangor makin pulih

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Perak dilaporkan terus meningkat manakala keadaan di Selangor beransur pulih pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa mencatat peningkatan dengan 507 mangsa daripada 155 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 470 mangsa banjir daripada 145 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, di Hilir Perak 165 mangsa daripada 52 keluarga berlindung di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak manakala di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan pula menempatkan 144 orang daripada 46 keluarga.

Seramai 44 mangsa daripada 14 keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

"Mangsa banjir di Kerian pula kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih pada tahap bahaya iaitu 4.12 meter (m), manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang 13.25m.

Sementara itu di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS berkurang sedikit kepada 697 mangsa daripada 178 keluarga berbanding 702 mangsa daripada 180 keluarga dilaporkan malam tadi.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan 10 PPS sedang beroperasi di negeri itu membabitkan daerah Sepang (lima), Hulu Langat (dua) dan Kuala Langat (tiga).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, portal Public Info Banjir menunjukkan setakat 8.15 pagi, paras air Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor melebihi tahap amaran dengan trend menurun. - Bernama