Tiga pemandu nyaris maut, kereta langgar kerbau

Salah sebuah kenderaan yang melanggar bangkai kerbau di lokasi. -Foto ihsan IPD Hulu Terengganu
Salah sebuah kenderaan yang melanggar bangkai kerbau di lokasi. -Foto ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Tiga pemandu nyaris maut apabila kenderaan dipandu merempuh seekor kerbau, dalam kejadian di Kilometer (KM) 422.3, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), (Ajil- Kuala Terengganu), di sini, pagi tadi.

Kejadian pada jam 6.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta jenis Perodua Myvi dan pemandu kereta jenis Toyota Corolla Altis mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menghala ke Rantau Panjang, Kelantan.

"Haiwan ternakan itu dikatakan melintas secara tiba-tiba dari lorong kanan ke lorong kiri menghala ke Kuala Terengganu.

"Kereta yang dipandu seorang wanita itu hilang kawalan lalu terbabas ke penghadang besi bahu jalan sebelah kiri menghala ke Kuala Terengganu sebelum sebuah kereta Toyota Altis dari arah Jerantut, Pahang menghala ke Jeram Hilir, Kuala Terengganu melanggar bangkai kerbau tersebut.

"Pada masa sama, sebuah MPV dari lorong sebelah kanan menghala ke Kuala Terengganu melanggar bangkai kerbau di atas jalan di lorong kanan," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Artikel Berkaitan: