Langkah positif JDT gegar Asia

Pemain JDT, Oscar Arribas diasak tiga pemain Ulsan Hyundai pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. - Foto Bernama
Pemain JDT, Oscar Arribas diasak tiga pemain Ulsan Hyundai pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PENINGKATAN prestasi yang dipamerkan Johor Darul Ta'zim (JDT) disifatkan cukup positif dan berada di landasan tepat untuk menjadi antara pencabar terkuat pasukan gergasi Asia dalam beberapa tahun lagi.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Harimau Selatan sentiasa mempamerkan peningkatan setiap tahun dan kejayaan sekali lagi menumbangkan jaguh Korea Selatan, Ulsan Hyundai membuktikan perancangan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semakin memberikan impak.

"Di peringkat Asia Tenggara kita nampak memang JDT tidak mempunyai masalah untuk menguasai dan mereka juga sudah menjadi pasukan terbaik di Asia Tenggara dengan segala kelebihan yang dimiliki mereka dari setiap segi.

"Asia pula, kejayaan menumbangkan Ulsan sememangnya bukan satu kerja yang mudah dan itu juga bakal menambahkan lagi semangat JDT untuk mencabar pasukan-pasukan terbaik di Asia.

"Tiada yang mustahil untuk JDT kerana mereka selangkah demi selangkah ke hadapan dan kita mahu melihat mereka menjadi antara pasukan terkuat di Asia," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

JDT meraih kemenangan menakjubkan ke atas juara Liga Korea, Ulsan 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan melebarkan statistik kemenangan ke atas kelab dari Korea Selatan itu apabila pernah menewaskan mereka dua kali pada aksi ACL tahun lalu.

Malah, kejayaan di Iskandar Puteri itu juga menghidupkan peluang skuad Esteban Solari itu mara ke pusingan kalah mati apabila berada di kedudukan ketiga dengan enam mata dan akan menentang Kawasaki Frontale dan BG Pathum United dalam dua aksi terakhir kumpulan I.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, pencapaian terbaik JDT di pentas ACL adalah berjaya mara ke pusingan 16 terbaik dalam saingan musim lalu.

Dalam pada itu, Mohd Azraai turut melihat peningkatan dipamerkan JDT di pentas ACL selain Terengganu FC dan Sabah di Piala AFC sesuatu yang harus dibanggakan.

"Ini satu tanda yang baik untuk bola sepak negara terutama Terengganu juga menang semalam. Sejauh ini, wakil negara di pentas asia menunjukkan mereka boleh bersaing di peringkat tersebut.

"Apa yang penting, mereka kena konsisten dan meneruskan rentak cemerlang dan pastinya mereka akan terus dapat melangkah jauh dan mengharumkan nama negara," katanya.