JDT mampu lakukan ‘sesuatu’ pada aksi hidup mati bertemu Ulsan - Solari

Solari (kiri) dan Forestieri pada sidang akhbar berkenaan. - Foto Bernama
Solari (kiri) dan Forestieri pada sidang akhbar berkenaan. - Foto Bernama
A
A
A

BIARPUN ramai menyifatkan aksi berdepan Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa sebagai pertembungan ‘hidup mati’ skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC kali ini, namun pengendalinya, Esteban Solari yakin skuad kendaliannya itu mampu melakukan ‘sesuatu.’

Menurut Solari, kesebelasan skuad Harimau Selatan itu dilihat bermotivasi menjelang pertembungan itu berdasarkan kepada prestasi baik yang ditunjukkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Katanya, pemain-pemain juga diingatkan agar tidak terlalu menghormati pasukan lawan dengan memberikan saingan sengit sehingga ke wisel penamat.

“Bagi saya, ia bukan misi hidup atau mati kerana dalam permainan bola sepak semuanya perlu konsisten dan mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi.

“Ini kerana, kita akan berdepan juara Liga Korea dan itu bukannya alasan supaya kita terlalu menghormati mereka hingga boleh menjejaskan rentak permainan kita sendiri.

“Berdasarkan senario semasa, kesemua pemain dilihat bermotivasi selain fokus untuk beraksi pada aksi berdepan Ulsan (Hyundai),” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Tambah Solari, kesebelasan pemain yang akan diturunkan diharap tidak melakukan kesilapan yang membolehkan pelawat menguasai perlawanan.

Justeru katanya, persiapan melibatkan percaturan taktikal dan disiplin dalam kalangan pemain akan diberikan keutamaan.

Artikel Berkaitan:

“Persiapan kita lebih terarah bagi memperkemaskan lagi taktikal disiplin pasukan kita sendiri berbanding memberi fokus kepada pasukan lawan dari Korea itu.

“Kita juga akan berusaha untuk mendominasi permainan selain cuba bermain ofensif dan juga memperkemaskan lagi benteng pertahanan,” katanya.

Sementara itu, penyerang import JDT, Fernando Forestieri berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan akan memberikan aksi terbaik jika diturunkan dalam kesebelasan utama esok.

Malah katanya, kesemua pemain juga diharap dapat memberikan aksi di tahap 200 peratus dalam usaha menjamin kejayaan pasukan.

“Saya sendiri tidak tahu sama ada saya akan beraksi dalam kesebelasan utama atau pemain gantian kerana ia hanya akan ditentukan oleh jurulatih atau pihak pengurusan.

“Namun, sesiapa sahaja yang beraksi perlu beraksi sehabis baik mungkin dalam 200 peratus serta tidak banyak membuang masa dengan kesilapan-kesilapan kecil,” katanya.