Turaplah jalan elok-elok, baiki kereta bukan guna daun!

Isu jalan raya yang dikorek dan diturap semula secara sambil lewa sering dilaporkan oleh media massa di negara ini sejak puluhan tahun dahulu lagi. - Gambar hiasan
Isu jalan raya yang dikorek dan diturap semula secara sambil lewa sering dilaporkan oleh media massa di negara ini sejak puluhan tahun dahulu lagi. - Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan baru-baru ini terbaca satu hantaran di laman sosial mengenai keluhan seorang pengguna mengenai mutu tampalan jalan raya yang dilakukan secara sambil lewa oleh kontraktor dilantik berkaitan satu projek utiliti.

Isu jalan raya yang dikorek dan diturap semula secara sambil lewa ini sebenarnya bukanlah perkara baharu kerana ia sering dilaporkan oleh media massa di negara ini sejak puluhan tahun dahulu lagi.

Di zaman internet ini, masalah sebegini juga sering diluahkan oleh netizen di media sosial malahan ada yang mendakwa terlibat dengan kemalangan akibat jalan yang diturap secara cincai.

Masalah jalan yang dikorek dan diturap secara sambil lewa ini turut dialami oleh Merak Jalanan sendiri setiap hari ketika melalui beberapa jalan di sekitar kediaman Merak Jalanan.

Sudahlah pengguna jalan raya berdepan kesukaran sepanjang kerja-kerja pengorekan dijalankan, dah siap pun masih rasa sakit hati.

Bagaimana tak sakit hati jika tampalan yang dilakukan bukan sahaya menjadikan jalan berkenaan beralun-alun, malah ada yang berlubang dalam.

Tampalan ini juga panjangnya berkilometer jauhnya menyebabkan kereta perlu dipandu perlahan ataupun sebahagian kereta memasuki lorong bertentangan jika tiada kenderaan dari arah hadapan.

Merak Jalanan hairan dengan sikap kontraktor, untung berjuta-juta apabila menerima projek yang berharga ratusan juta namun nak tampal jalan dengan sempurna pun kedekut.

Artikel Berkaitan:

Mungkin jalan ini ditampal sementara dan akan ditampal keseluruhan jalan selepas kerja-kerja pengorekan siap sepenuhnya.

Namun kalau sementara seminggu dia masih okey, kalau dah berbulan-bulan lamanya, baik turap dengan lebih sempurna.

Tampalan cincai boleh menyebabkan absorber kereta atau penyerap hentakan rosak, kos tukar absorber bukan murah atau boleh dibayar guna daun!