KKR naik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya

KKR akan melaksanakan program menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya di seluruh negara dengan siling peruntukan berjumlah RM241.5 juta. - Gambar hiasan
KKR akan melaksanakan program menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya di seluruh negara dengan siling peruntukan berjumlah RM241.5 juta. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melaksanakan program menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya di seluruh negara dengan siling peruntukan berjumlah RM241.5 juta.

KKR dalan kenyataan pada Sabtu memaklumkan infrastruktur jalan raya yang sempurna menjadi tanggungjawab utama kementerian dan isu keselamatan jalan raya khususnya di Jalan Persekutuan seluruh negara adalah diberikan perhatian utama.

"Program tersebut yang telah diluluskan pada Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) diteruskan pelaksanaannya dalam RMK12 dengan empat skop utama iaitu rawatan di lokasi kerap berlaku kemalangan (blackspot), 264 lokasi telah dilaksanakan dengan peruntukan RM76.3 juta, pembinaan jejantas pejalan kaki dengan 18 jejantas telah siap dibina membabitkan peruntukan RM56.6 juta dan enam lagi sedang dalam pembinaan.

"Selain itu, pembinaan Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI), 114 lokasi telah dilaksanakan dengan peruntukan RM27.4 juta, dan pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan atau berisiko kemalangan dengan 148 lokasi telah dilaksanakan dengan peruntukan RM15 juta,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KKR menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyediakan peluang latihan kemahiran di Akademi Binaan Malaysia kepada kakitangan binaan dan belia tempatan di dalam bidang kemahiran berimpak tinggi, di samping menyediakan latihan di dalam Building Information Modelling (BIM), selaras dengan usaha pendigitalan industri pembinaan.

KKR turut menggandakan pelbagai inisiatif mengimbangi pertumbuhan dengan konsolidasi fiskal yang mempunyai impak secara langsung kepada rakyat, penggiat industri pembinaan dan pembangunan sektor pembinaan itu sendiri dalam mencapai hasrat dan kejayaan Ekonomi Madani.

Katanya, KKR akan terus melaksanakan Dasar Pembinaan Negara 2030 dan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalanraya 2030 (HNDP) bagi merancakkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, KKR menyasarkan sebanyak 270 Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan sehingga akhir tahun ini sebagai strategi merancakkan semula sektor pembinaan serta 196 rantaian bekalan (subsektor) di bawahnya.

"Antara strategi yang telah dilaksanakan adalah dengan mempercepatkan pengeluaran SST kepada syarikat-syarikat yang terpilih dalam proses perolehan kerajaan.

"Menerusi penyerahan SST ini, secara tidak langsung dapat membantu dari sudut ekonomi golongan kontraktor daripada pelbagai kelas termasuk kontraktor kecil G1 hingga G4,” menurut kenyataan.

Katanya, projek pembangunan yang dilaksanakan adalah selaras dengan misi utama dan objektif kerajaan dalam mempromosikan keseimbangan di antara wilayah dan merentangi ekonomi yang seimbang di antara bandar dan luar bandar. - Bernama