Rakyat kita masih perlu dibantu

Keadaan Pekan Beaufort di Sabah.
Keadaan Pekan Beaufort di Sabah.
A
A
A

KETIKA ini, banyak pihak yang dilihat berlumba-lumba menunjukkan solidariti mereka terhadap apa yang berlaku di Palestin dengan mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat di negara itu.

Tindakan dan keprihatinan rakyat Malaysia itu amat dihargai namun jangan lupa, rakyat kita sendiri pun masih ramai yang memerlukan bantuan. Masih ramai yang susah, antaranya di Sabah.

Kehidupan serba kekurangan, tak terlintas dek fikiran bahawa masih ramai rakyat di negeri bawah bayu itu memerlukan bantuan terutamanya kemudahan asas dalam kehidupan seharian mereka.

Ini disaksikan sendiri ketika penulis pulang ke kampung mentua di Beaufort, Sabah baru-baru ini. Sebenarnya sudah lama penulis mahu menulis tentang isu ini, baru kali ini berpeluang.

Kita mula dengan jalan raya. Jalan raya di Sabah, kebanyakannya rosak teruk. Tidak pasti kenapa, tetapi ia dilihat langsung tidak dipedulikan oleh pihak yang sepatutnya.

Keadaan jalan raya hanya ‘dipedulikan’ sebelum Kembara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Itu pun kerja-kerja penurapan jalan raya dibuat di jalan yang akan dilalui kedua-dua Seri Paduka, bukannya di kampung-kampung dan pedalaman. Kerja penurapan dibuat seminggu sebelum lawatan.

Di kampung-kampung lagi teruk, banyak jalan raya yang tidak diturap. Masalah ini dilalui sejak lebih 50 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ini menyebabkan pengangkutan awam seperti teksi tidak mahu masuk ke dalam kampung untuk mengambil dan menghantar penumpang.

Keadaan itu menyebabkan penduduk kampung yang tiada pengangkutan, perlu berjalan kaki sehingga lebih 20 kilometer (pergi dan balik) semata-mata untuk keluar ke pekan.

Selain keadaan jalan raya, penduduk miskin tegar turut menghadapi kekangan kewangan, mereka tiada pilihan melainkan berjalan kaki untuk ke pekan untuk menjual hasil tani semata-mata untuk mendapatkan wang bagi kegunaan harian mereka.

Lebih teruk, sekiranya banjir kilat, mereka tidak dapat keluar ke pekan sekali gus terputus pendapatan. Pendek kata, dapat keluar pekan, adalah duit.

Golongan ‘ada duit ada makan’ ini masih ramai di Sabah, malah ada yang tidak mempunyai bekalan elektrik sejak dahulu kerana tidak mampu.

Diharapkan mereka ini mendapat perhatian daripada wakil rakyat yang diamanahkan, bukannya tunjuk muka ketika meraih undi sahaja.

Selain masalah jalan raya, masalah tiada liputan talian telefon juga antara masalah ‘lama’ yang dihadapi rakyat Sabah.

Semua masalah ini melibatkan penduduk pedalaman, mereka tidak dapat dihubungi dan menghubungi sekiranya pulang ke rumah mereka.

Mereka perlu keluar ke pekan atau mendaki bukit sekiranya ingin membuat panggilan.

Jika liputan talian telefon pun tiada, apatah lagi capaian internet. Bayangkan jika berlaku kecemasan, bagaimana penduduk kampung nak hadapinya?

Masalah bekalan air, ini satu lagi masalah yang dihadapi sejak puluhan tahun lalu.

Masih ramai penduduk kampung yang menggunakan air dari bukit atau sungai untuk kegunaan harian, yang mereka sendiri tidak tahu tahap kebersihannya. Tetapi apa pilihan yang mereka ada?

Realitinya, masih ramai yang hidup dalam kesusahan, betul-betul susah.

Mereka bukan mengharapkan bulan dan bintang, sebaliknya cukup sekadar kemudahan asas disediakan untuk kegunaan harian.

Pada tahun 2020, peratusan kemiskinan mutlak di Sabah adalah 25.3 peratus, tertinggi di Malaysia dan jauh lebih tinggi berbanding dengan peratusan negara iaitu 8.4 peratus.

Tahun sebelum itu, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa lapan daripada 26 daerah pentadbiran di Sabah telah merekodkan peratusan kemiskinan mutlak melebihi 30 peratus.

Daerah Tongod dan Pitas pula telah merekodkan peratusan kemiskinan mutlak melebihi 50 peratus.

Justeru penulis sangat berharap kemiskinan tegar dalam negara dapat dinoktahkan bukan sekadar retorik tetapi menjadi realiti.

*Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah wartawan Sinar Harian Pulau Pinang