Filem 'Syaitan Munafik' dapat sokongan artis, penaja Indonesia

Rosdi di majlis menandatangani perjanjian penajaan dengan PT TransNusa Aviation Mandiri pada Rabu.
Rosdi di majlis menandatangani perjanjian penajaan dengan PT TransNusa Aviation Mandiri pada Rabu.
A
A
A

PENERBIT filem, Syaitan Munafik, Datuk Mohd Rosdi Shair lega apabila para artis, penaja dan media di Indonesia menyokong filem terbitan syarikatnya, United Nine Creative Sdn Bhd, yang turut menampilkan pelakon Malaysia Allahyarham Ashraf Sinclair.

Beliau berkata, 10 pelakon filem dan sinetron, antaranya Dafina Jamasir, Loli Ismaya, Mayang Lucyana Fitri, Doddy Sudrajat, Vidya Ully, Derick Jordan dan Nadelyn setuju datang memeriahkan Tayangan Perdana filem itu di Kuala Lumpur pada 18 Disember.

Pihaknya akan melaksanakan program promosi besar-besaran di Malaysia dan Indonesia agar filem terakhir lakonan Ashraf Sinclair, artis yang juga popular di Indonesia mendapat liputan yang meluas bagi menarik seluruh penonton terutamanya peminat filem seram.

"Saya berterima kasih atas sokongan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham Ashraf.

"Ia juga bagi memperingati pemergiannya di Jakarta tiga tahun lalu,” kata Rosdi di majlis menandatangani perjanjian penajaan dengan PT TransNusa Aviation Mandiri, pada Rabu.

Rosdi, yang juga pengarah urusan United Nine Creative, mewakili syarikatnya, manakala TransNusa Air diwakili pengerusi eksekutifnya Bayu Sutanto. Hadir sama ketua pegawai eksekutif TransNusa, Datuk Bernard Francis dan penerbit penyelaras United Nine Creative, Ahmad Latifi.

Rosdi menghargai kesudian syarikat penerbangan itu menjadi penaja rasmi penerbangan untuk artis, media dan seluruh anggota penerbitan Malaysia dan Indonesia.

TransNusa juga akan memberi sokongan penuh terhadap acara pelancaran filem itu di Kuala Lumpur, dan di Jakarta pada 14 Jan 2024.

Artikel Berkaitan:

Klinik Kecantikan Doktor Wir dari Kelapa Gading, Indonesia memberi sokongan dengan menaja lokasi tayangan perdana di Kuala Lumpur serta penginapan untuk pelakon, kru dan media.

Syaitan Munafik turut dibintangi oleh dua artis Indonesia, Tessa Mariska dan Dea Lestari serta pelakon Malaysia, antaranya Ruminah Sidek, Faisal Hussein, Linda Hashim, Hussien, Bandi Amuk, Erin CTJ, Wom UG 14 dan Yank Kassim.

Filem terbitan 2008 yang disunting semula untuk tayangan merupakan karya filem paling lama tersimpan iaitu selama 15 tahun, lima tahun lebih lama daripada filem terbaik Festival Filem Malaysia ke-32, Spilt Gravy on Rice yang diterbitkan pada 2012.

Filem arahan Allahyarham Majed Saleh, yang meninggal dunia pada 6 Okt lepas, akan menemui penonton di 50 pawagam seluruh tanah air mulai 21 Dis ini, dan tayangan di Indonesia pada pertengahan Januari 2024. - Bernama