Pelik panggil Sumareh

Sumareh dipanggil menjalani kem latihan pusat Harimau Malaya bermula Jumaat ini menjelang Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November. - Foto Facebook FAM
Sumareh dipanggil menjalani kem latihan pusat Harimau Malaya bermula Jumaat ini menjelang Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November. - Foto Facebook FAM
A
A
A

KEPUTUSAN pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon memanggil pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohamadou Sumareh mengikuti kem latihan pusat bermula Jumaat ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Malah, jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, tindakan Pan-gon itu sebagai satu kejutan memandangkan Sumareh sudah lama tidak mendapat minit permainan bersama JDT.

Menurutnya, kelibat pemain yang lebih menyerlah dalam Liga Malaysia (Liga-M) harus diutamakan bagi mengharungi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Bagi saya Sumareh tidak bersedia untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan dan kita dah lama tak tengok aksi dia. Kalau dia bermain untuk JDT (dimasukkan sebagai pemain simpanan) sekalipun, dia tidak dapat nak ikut rentak permainan pasukan.

“Itu yang buat peminat tertanya-tanya, namun alasan di sebalik keputusan panggil Sumareh itu hanya Pan-gon yang tahu. Kita kena hormati keputusannya sebagai jurulatih,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin, Pan-gon memanggil semula beberapa pemain JDT termasuk Sumareh.

Kali terakhir pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya itu berada dalam pasukan kebangsaan adalah pada September tahun lalu ketika aksi Piala Raja Thai di Chiang Mai.

Harimau Malaya akan mengharungi aksi pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 November sebelum berlepas ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Taiwan pada 21 November.

Artikel Berkaitan:

Menurut Sulaiman, Sumareh tidak boleh disamakan seperti seorang lagi pemain JDT, Akhyar Rashid yang mampu menyerlah bersama pasukan kebangsaan sekalipun turut tidak mendapat minit permainan mencukupi.

“Kita tidak boleh samakan Akhyar dengan mana-mana pemain lain yang tak ada minit permainan. Akhyar berada dalam kelas berbeza dan dia seorang yang gifted.

“Tengok saja dalam beberapa aksi bersama pasukan negara dan semalam (Selasa) dia masuk sebagai pemain gantian dan berjaya jaringkan gol ketika lawan kelab Korea (Ulsan Hyundai). Itu menunjukkan kualiti yang dimilikinya,” jelas Sulaiman.