Tindakan ahli Parlimen beralih sokongan perlu dihentikan - Shafie Apdal

Mohd Shafie dalam sidang akhbar di ibu pejabat Warisan, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie dalam sidang akhbar di ibu pejabat Warisan, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan ahli-ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan lain sepatutnya tidak harus digalakkan dan ia harus dihentikan segera.

Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keadaan itu dilihat sebagai satu budaya yang kurang sihat dan menjadi peringatan kepada pengundi kerana ia menjadikan politik negara tidak stabil di mana ia masih berlaku sehingga kini.

"Secara jujurnya secara personal, saya tidak patut mengalakkan mereka sebab apa pun yang penting bagi kita ialah mandat rakyat, kalau mereka kata kepentingan rakyat itu alasan saja.

"Ini satu keadaan sistem demokrasi yang kita tidak galakkan di negara ini, saya yakin ini satu amalan yang kurang sihat yang harus dihentikan sama ada pihak yang menerima atau pihak yang melakukannya.

"Umpama rasuah, jangan hanya ambil tindakan orang yang ambil rasuah, ambil juga tindakan yang memberi rasuah untuk menghindar keadaan itu tidak berlarutan dan budaya ini tidak kelihatan di banyak negara," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat bersama Ketua Wira Bahagian dan Exco Pusat di ibu pejabat Warisan, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan tiga ahli parlimen yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna yakin bahawa peruntukan untuk kawasan pembangkang tetap disalurkan kepada kawasan masing-masing.

"Saya yakin setiap kawasan parlimen akan ada peruntukan yang disalurkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Maknanya peruntukan untuk pendidikan, kesihatan, bekalan elektrik, jalan raya memang sudah ada dalam RMK12 bukan bererti setiap kawasan parlimen akan ketinggalan tidak diberi peruntukan.

Artikel Berkaitan:

"Bayangkan, Anwar sampai di Kelantan telah memberi kelulusan walaupun dia tau itu kawasan pembangkang tetapi masih diberi peruntukan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Akta Anti Lompat yang diluluskan sebelum ini harus diteliti semula untuk ditambah baik.

"Undang-undang dah ada, jangan cemarkan dan perlu diperhalusi. Kita perlu lihat semula dari segi sistem, ada penambahbaikan bagi menghindar rakyat teraniaya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!