Isu nasi kandar babi: Restoran mamak sedia dapatkan pensijilan halal

Jawahar (kanan) sambil diperhatikan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Ismail Abi Hashim (tengah) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima pada Majlis Penajaan SKSSR di Pejabat PERKESO Tanjong Karang di sini pada Rabu.
Jawahar (kanan) sambil diperhatikan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Ismail Abi Hashim (tengah) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima pada Majlis Penajaan SKSSR di Pejabat PERKESO Tanjong Karang di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bersedia mendapatkan pensijilan halal bagi mengelakkan keraguan umat Islam berikutan tular hidangan nasi kandar babi tidak halal yang dijual di Damansara baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, sudah tiba masanya semua restoran mamak yang menyediakan makanan halal di negara ini mempunyai perakuan itu bagi memastikan jaminan makanan disediakan memenuhi syarak di samping meningkatkan keyakinan pengguna.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat kira-kira 1,500 daripada 12,000 restoran mamak sudah mendapatkan pensijilan halal.

"Kami menyambut baik usaha kerajaan mempercepatkan urusan permohonan mendapatkan sijil halal diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja," katanya ketika ditemui semasa Majlis Penajaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Tanjong Karang di sini pada Rabu.

Bagaimanapun Jawahar berkata, Presma mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga perlu menyediakan garis panduan lengkap termasuk menyediakan pegawai pemantau bagi memastikan setiap permohonan daripada pihak restoran memenuhi kriteria dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, proses memudah cara permohonan itu penting bagi membolehkan lebih banyak restoran mamak mengemukakan permohonan pensijilan halal tersebut.

"Kita sokong pensijilan halal ini, cuma bagaimana pihak JAKIM hendak mempercepatkan proses tersebut kerana rata-rata pengusaha restoran mamak kurang memahami proses dan syarat dikehendaki.

"Saya yakin, jika pengusaha restoran diberi pengetahuan dan maklumat jelas lebih banyak permohonan pensijilan ini dibuat," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan setiap permohonan untuk mendapatkan sijil halal wajib diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja dan tiada alasan untuk dilewatkan.

Ahmad Zahid berkata, terdapat rungutan mendakwa proses permohonan itu mengambil tempoh dari sembilan bulan sehingga dua tahun, malah ada yang hanya mendapat maklum balas permohonan tidak diluluskan selepas dua tahun.