Peningkatan kos haji kerana faktor luar - Mohd Na'im

Mohd Na'im pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Mohd Na'im pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan ekoran terdedah kepada faktor di luar kawalan Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, antara faktor terlibat ialah kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi selain kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding riyal dan dolar Amerika.

Selain itu beliau menjelaskan, faktor lain yang turut memberi impak adalah projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah hingga menyebabkan banyak bangunan penginapan dirobohkan sekali gus memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.

“Terdapat juga caj-caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci.

“Kenaikan kadar cukai tambah nilai (Value Added Tax) di Arab Saudi daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai 2020 juga adalah salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara,” katanya bagi menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai faktor peningkatan kos mengerjakan haji di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, TH telah berusaha untuk mengawal peningkatan kos berkenaan dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang melibatkan penerbangan, penginapan, sajian makan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

Dengan cara tersebut ujarnya, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

"Kita juga sentiasa menasihati pendeposit dan bakal haji untuk sentiasa merujuk kepada TH bagi mendapatkan maklumat tepat serta terkini melalui platform media sosial serta portal laman rasmi.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai sebuah institusi Islam yang komited dalam memastikan kebajikan jemaah haji terpelihara, TH akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji muassasah yang layak.

“Kos haji, kadar bayaran haji dan bantuan kewangan haji akan diumumkan setelah perbincangan secara menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kedudukan kewangan TH,” jelasnya.