Parlimen Turkiye boikot Coca-Cola dan Nestle

Keputusan itu dibuat sebagai simbol solidariti terhadap sensitiviti awam yang melancarkan gerakan boikot terhadap produk yang secara terbuka menzahirkan sokongan terhadap jenayah perang dan kekejaman Israel. - Foto Agensi
Keputusan itu dibuat sebagai simbol solidariti terhadap sensitiviti awam yang melancarkan gerakan boikot terhadap produk yang secara terbuka menzahirkan sokongan terhadap jenayah perang dan kekejaman Israel. - Foto Agensi
A
A
A

ANKARA - Parlimen Turkiye mengeluarkan produk Coca-Cola dan Nestle daripada restoran seluruh negara pada Selasa berhubung dakwaan sokongan syarikat gergasi itu terhadap Israel di tengah-tengah peperangan di Genting Gaza yang semakin meningkat.

"Produk firma yang menyokong rejim Zionis tidak akan dijual di restoran, kafeteria, dan premis perniagaan lain yang beroperasi di sekitar Parlimen," ujar Perhimpunan Kebangsaan Besar.

Sementara itu, Speaker Numan Kurtulmus berkata, keputusan itu dibuat sebagai simbol solidariti terhadap sensitiviti awam yang melancarkan gerakan boikot terhadap produk yang secara terbuka menzahirkan sokongan terhadap jenayah perang dan kekejaman Israel membunuh orang awam tidak berdosa di Gaza.

Sumber Parlimen menyatakan minuman ringan Coca-Cola dan kopi segera Nestle merupakan jenama yang dikeluarkan daripada menu di bawah langkah tersebut.

Pada bulan lalu, Nestle mengumumkan salah sebuah kemudahan mereka di Tel Aviv terpaksa menutup operasi sebagai langkah berjaga-jaga.

Sejak akhir-akhir ini, aktivis di Ankara turut melancarkan boikot terhadap kedua-dua syarikat itu selepas gerakan sama turut mendapat sambutan di seluruh dunia.

Difahamkan, Parlimen Turkiye adalah antara kerajaan atau pertubuhan pertama yang menyasarkan jenama besar global yang secara terang-terangan menyokong Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, kesatuan pemunggah kargo di pelabuhan Barcelona dilaporkan enggan memunggah sebarang peralatan ketenteraan dan keputusan sama turut diambil Kesatuan Pengangkutan Belgium yang enggan mengendalikan muatan sama yang mahu dihantar ke Tel Aviv. - Agensi

Artikel Berkaitan: