Strategi pemulihan TH berhasil

TH berjaya mencatatkan peningkatan dana pendeposit sehingga hampir RM90 bilion selepas langkah pengambilalihan aset dilaksanakan pada tahun 2018.
TH berjaya mencatatkan peningkatan dana pendeposit sehingga hampir RM90 bilion selepas langkah pengambilalihan aset dilaksanakan pada tahun 2018.
A
A
A

PELAN Penstrukturan dan Pemulihan Tabung Haji (TH) yang dilaksanakan sejak tahun 2018 dilihat telah berupaya mengukuhkan prestasi institusi ekonomi umat Islam di negara ini.

Meskipun berhadapan dengan pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak, namun pelan tersebut telah menunjukkan hasil yang positif.

Malah, terbaharu, seorang ahli Parlimen pembangkang ketika sesi Dewan Rakyat pada Isnin mendakwa pelan pemulihan tersebut gagal. Namun dari segi rekod, ianya menunjukkan sebaliknya.

Apa yang pasti, TH berjaya mencatatkan rekod peningkatan dana pendeposit sehingga hampir RM90 bilion selepas pelaksanaan pelan penstrukturan aset tersebut. Berbanding tahun lalu, dana pendeposit hanya mencatatkan RM74 bilion pada tahun 2018.

Mahu atau tidak, semua pihak perlu akur bahawa peningkatan deposit itu yang mencerminkan keyakinan tinggi masyarakat terhadap institusi berkenaan.

Pada masa sama, TH turut terbukti mampu membuat agihan keuntungan yang kompetitif sejak tahun 2020 jika dibandingkan purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan. Malah, TH turut merupakan satu satunya institusi pelaburan berkaitan Kerajaan yang melunaskan zakat bagi pihak pendeposit

Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24

Dalam usaha untuk mengekalkan TH sebagai sebuah institusi pengurusan haji berdaya saing, Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan pendeposit sentiasa terjamin di masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Pelan tersebut merangkumi 24 inisiatif strategik bagi memacu organisasi dalam tempoh tiga tahun akan datang demi memastikan kesinambungan serta kecemerlangannya secara berterusan.

Menerusi pelaksanaan pelan berkenaan, TH yakin ia mampu melonjakkan semula aktiviti perniagaan dan pelaburan untuk terus cemerlang.

Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 dilaksanakan TH bagi memastikan kesejahteraan pendeposit sentiasa terjamin di masa akan datang.
Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 dilaksanakan TH bagi memastikan kesejahteraan pendeposit sentiasa terjamin di masa akan datang.

Penstrukturan aset

Keputusan kerajaan yang melaksanakan Pelan Penstrukturan dan Pemulihan TH pada 2018 jika diteliti merupakan satu komitmen penting bagi menyelamatkan agensi itu daripada berhadapan dengan kemungkinan krisis kecairan akibat pengeluaran deposit secara besar-besaran.

Pelan tersebut dibentuk bagi mengelakkan impak negatif kepada kestabilan sistem kewangan negara selaras peruntukan di bawah Seksyen 24, Akta Tabung Haji yang memberi jaminan kerajaan terhadap pendeposit.

Justeru, langkah pemindahan aset diambil menerusi pemindahan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada syarikat Urusharta Jamah Sdn Bhd (UJSB), iaitu syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Kementerian Kewangan (MOF).

Pemindahan aset TH itu sebagai usaha memantapkan kedudukan kewangan TH. Apa yang jelasnya, nilai pasaran semasa aset-aset tersebut adalah jauh lebih rendah iaitu RM9.7 bilion berbanding nilai pemindahan.

Apa yang perlu difahami, langkah tersebut berkenaan ditetapkan bagi menutup jurang defisit antara nilai aset dan liabiliti yang dialami oleh TH. Pada masa sama, ia turut membolehkan pengagihan hibah atau keuntungan dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995.

Pemulangan semula aset

Namun, selepas lima tahun berlalu dan pada September 2023, kerajaan memutuskan untuk memulangkan semula aset yang dipindahkan semula kepada TH setelah mengambil kira keupayaan dan kestabilan kewangan institusi itu.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini telah pun menegaskan proses pengambilalihan semula aset TH itu telah dimulakan dan akan meliputi langkah-langkah pentadbiran dan perbincangan bersama MOF.

Bermula dengan hanya 1,281 pendeposit dengan tabungan sebanyak RM46,610 TH kini mempunyai hampir sembilan juta pendeposit dengan jumlah tabungan lebih RM89 bilion.
Bermula dengan hanya 1,281 pendeposit dengan tabungan sebanyak RM46,610 TH kini mempunyai hampir sembilan juta pendeposit dengan jumlah tabungan lebih RM89 bilion.

Pengiktirafan

Selain kedudukan kewangan yang semakin baik, TH masih kekal cemerlang dalam urusan haji. Sebagai rekod pada Julai lalu, kerajaan Arab Saudi mengiktiraf perkhidmatan TH sebagai yang terbaik disediakan oleh Pejabat Urusan Haji menerusi Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi.

Anugerah yang disampaikan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah kepada Mohd Na'im itu merupakan pengiktirafan besar ke atas sistem dan kecekapan pengurusan jemaah haji Malaysia.

Selain itu, TH turut memenangi Anugerah Labbaitom bagi kategori Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam pada Februari lalu.

Mahu atau tidak, semua pihak harus mengakui serta mengiktiraf bahawa sejak 60 tahun penubuhannya, TH telah menguruskan seramai 1.5 juta jemaah haji di samping membelanjakan RM2.5 bilion Bantuan Kewangan Haji bagi meringankan beban bakal haji negara sejak tahun 2001.

Malah, TH turut mengagihkan keuntungan berjumlah lebih RM40 bilion kepada pendepositnya sejak penubuhannya pada tahun 1963.

Bermula dengan hanya 1,281 pendeposit dengan tabungan sebanyak RM46,610, TH kini mempunyai hampir 9 juta pendeposit dengan jumlah tabungan lebih RM89 bilion. Inilah yang harus dibanggakan dan terus dipelihara demi kebajikan umat Islam negara.

* Yazid Alias ialah Penolong Editor, Sinar Harian.