Syed Saddiq bebas atau bersalah, diketahui Khamis ini

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada dilepaskan atau disabitkan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis.

Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid dijadualkan membaca keputusan di akhir kes pembelaan itu pada jam 9 pagi.

Jika mahkamah memihak kepada pihak pembelaan dengan berpendapat bekas Menteri Belia dan Sukan itu berjaya menimbulkan keraguan munasabah, beliau akan dilepas dan dibebaskan serta-merta.

Bagaimanapun, jika mahkamah berpandangan sebaliknya, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berusia 30 tahun itu berdepan hukuman penjara atau denda, jika sabit kesalahan.

Pada 27 September tahun lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun, manakala pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Oktober.

Sebahagian saksi tersebut ialah ibu bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd 'Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili bekas Ketua Armada Bersatu.

Pada 28 Oktober 2022, Syed Saddiq diperintah membela diri atas semua pertuduhan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 22 Februari lalu pula, beliau memulakan keterangan dengan membacakan pernyataan bertulis setebal 25 muka surat dari kandang saksi selaku saksi pembelaan (SD) pertama.

Tiga yang lain iaitu SD2, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin; SD3, bekas pegawai khas, Mohamed Amshar Aziz dan SD4, bekas Setiausaha Peribadi, Siti Nurul Hidayah hadir ke mahkamah untuk membela Syed Saddiq.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq didakwa atas satu pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan hanya perlu buktikan Syed Saddiq bersubahat

Pendakwaan dibuat kerana tidak sokong Muhyiddin - Syed Saddiq

Perbicaraan pendakwaan pecah amanah, AMLA Syed Saddiq selesai

[VIDEO] Pendakwaan bermotifkan politik dendam - Syed Saddiq

[VIDEO] Syed Saddiq diperintah bela diri