[VIDEO] Syed Saddiq diperintah bela diri

Syed Saddiq diperintahkan untuk membela diri atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Syed Saddiq diperintahkan untuk membela diri atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan perkara ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Ketika membaca keputusan ringkasnya, Azhar berkata, keputusan dibuat setelah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan memberi pertimbangan maksimum seperti yang ditetapkan undang-undang.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, dengan ini tertuduh diperintahkan untuk membela diri bagi keempat-empat pertuduhan,” katanya.

Syed Saddiq, 30, kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Pilihan ketiga pula, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Selepas mendengar perkara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, anak guamnya mengambil pilihan ketiga.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Prosiding ditangguhkan, sementara pihak pendakwaan dan pembelaan berbincang untuk menentukan tarikh perbicaraan.