Perbicaraan pendakwaan pecah amanah, AMLA Syed Saddiq selesai

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Selepas 30 saksi dipanggil memberi keterangan, prosiding pendakwaan bagi kes pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi di sini selesai pada Selasa.

Ia selepas pihak pendakwaan menutup kes itu sejurus peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, menyoal balas tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip.

Dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Jun lalu, antara saksi pendakwaan (SP) yang dipanggil ialah ibu bapa Syed Saddiq, iaitu (SP kedua) Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan (SP ketiga) Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff.

Selain itu turut menjadi saksi pendakwaan ialah (SP-13), bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali.

Semasa prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil semula tiga pegawai penyiasat SPRM itu.

Susulan itu, mereka menawarkan 13 saksi kepada pihak pembelaan antaranya ialah rakan-rakan Syed Saddiq iaitu Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum Isnin ini manakala 6 dan 7 Oktober depan untuk berhujah secara lisan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Artikel Berkaitan:


Bekas Ketua Armada Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.